Sudah ramai rakan-rakan memberi maklum akan Pasar Nelayan Pasir Putih ini. Letaknya berdekatan jalan masuk ke Taman Teluk Vila. Saya pula oleh kerana jarang lalu di kawasan ini, tidak pernah pula singgah di sini kecuali semalam, buat pertama kalinya.

Sebelum ini pernah juga hendak singgah tetapi apabila masa tidak kena dan kelihatan lengang, saya tidak jadi hendak berhenti.

Saya dapati ikan-ikan segar yang para nelayan tangkap sama ada dengan pukat atau pancing. Katanya, mereka memukat atau memancing sekitar kawasan berhampiran sehinggalah ke kawasan arah tengah laut Papar, Pulau Mengalun atau ke Pulau Tiga.

Kebiasaannya, bot yang membawa ikan akan tiba di lokasi pada jam 8.30 pagi dan jam 5 petang untuk memunggah hasil tangkapan dan seterusnya dijual kepada para pelanggan.

Ketika saya berkunjung petang semalam, kebetulan ikan-ikan segar baru tiba beberapa minit sebelumnya. Ada ikan tenggiri (RM16 sekilo), bakulan (RM6 sekilo), rumahan (RM7 sekilo) dan lain-lain.