Alhamdulillah, saya merasa bersyukur dan teruja sekali apabila dapat menyertai program kelas intensif tafaqquh haji dan umrah di Kompleks Tabung Haji Kota Kinabalu sejak malam tadi dan berakhir petang tadi.

Kursus ini disertai oleh kira-kira 70 peserta dari Sabah, Sarawak dan WP Labuan yang terdiri daripada pengkursus ibadah haji dan juga muka-muka baru seperti saya sendiri dan ramai rakan-rakan lain.

Kitab rujukan utama ialah sebuah kitab jawi lama bernama al-Bahrul Wafi wan Nahrus Shafi karangan Syheikh Muhammad bin Ismail Daudy al-Fathani.

Semua peserta dibahagi kepada tujuh kumpulan dan masing-masing ditugaskan untuk membaca bab yang sudah ditetapkan. Kumpulan kami ditugaskan membaca bab berkenaan ziarah ke Masjid Nabawi SAW, Raudhah, Maqam Rasulullah dan tempat-tempat utama di sekitar Madinah.

Memang bagi yang tidak biasa seperti saya membaca buku dengan tulisan dan bahasa jawi lama, agak sukar memahaminya khususnya buat kali pertama. Ada kalimah dan ayat yang sukar difahami kerana bentuk dan struktur ayat yang berbeza berbanding kini.

Walaubagaimanapun kami mendapat bimbingan berharga oleh dua orang pakar iaitu Ustaz Tengku Aziz selaku Pengurus Besar Bimbingan dan Dato’ Fadhil dari Kedah yang merupakan antara pakar rujuk Tabung Haji.

Pada sesi akhir, semua kumpulan diminta membentangkan nota-nota penting bagi kumpulan masing-masing sebagaimana yang diminta. Pembentangan bagi kumpulan kami disampaikan oleh Ust Hj Sipri Abd Razak.

Antara rakan-rakan yang turut sama ialah Ust Hj Sahudin Ajamain, Ust Hj Zulkarnain Ali, Ust Hj Md Hilham Md Noor, Ustazah Hjh Salmah Hassan, Ustazah Hjh Hafizah Ag Basir dan lain-lain. Antara guru-guru yang turut sama ialah Ust Hj Muchlish Ali Kasim, Ustazah Hjh Zubaidah Jamadi, Ust Hj Sipri Abd Razak, Ust Hj Saidin Musi dan lain-lain.

Oh ya, saya dimaklumkan semua peserta pengkursus haji mestilah sudah menunaikan fardhu haji.