Apa kesalahannya?

Selesai JK Syukbah Dakwah bermesyuarat di Masjid Negeri Sabah malam tadi, kami mengambil sedikit ruang untuk mengadakan sesi fotografi tentang pergerakan solat yang tepat, kurang tepat dan tidak tepat.

Ia meliputi berdiri betul, angkat tangan, kedudukan tangan ketika berdiri, rukuk, i’tidal, sujud, duduk sehinggalah tolehan ketika memberi salam. Juga dirakam solat bersendirian dan berjamaah, mulai dengan berdua dan seterusnya.

Sesudah saya edit gambar-gambar ini di rumah, nampaknya ada yang perlu diperbaiki dan ditambah. Saya juga akan merakamkan pergerakan solat untuk wanita. Mungkin anak sulung, Nuha akan menjadi modelnya.

Jika ada kesempatan, rakaman video juga akan dibuat satu ketika nanti khususnya berkaitan kesilapan dalam solat.

Semua ini akan ditayang ketika Syukbah Dakwah menganjurkan Klinik Solat sebanyak dua siri mulai akhir Jun nanti, sebagai kesinambungan Kursus Tahsin Solat yang sudah berlangsung sebanyak 5 siri setakat ini. Ada 1 siri terakhir Tahsin Solat.

Klinik Solat akan membabitkan siri praktikal 2 hala antara penceramah, fasilitator dan peserta kursus. Siri pertama dijangka menguji tentang bacaan al-Fatihah & pergerakan solat sehingga salam. Sementara siri kedua berkenaan bacaan-bacaan wirid dan doa.

Untuk itu, kami mensasarkan hanya sekitar 150 peserta bagi setiap siri dan juga 15 orang fasilitator sekurang-kurangnya. Mudah-mudahan para peserta lebih daripada itu dan kami berharap mereka akan bertahan, tidak lari apabila sampai masa diuji ketepatan Fatihah dan pergerakan solatnya.

Kedudukan hujung jari kaki yang tidak tepat ketika sujud