Saya tiba di Kg Andus Papar untuk menghadiri pernikahan pasangan Dg Ainah Hj Ismail dan Kasim Maradin. Hj Ismail adalah sebahagian keluarga besar kami yang sebahagian besarnya sebenarnya tidak saya kenali.

Keluarga mereka khususnya Hj Ismail dan beberapa anaknya mula saya kenali ketika menziarahi Allahyarham Nenek Hajjah Timbang Bakar di Kg Benoni akhir September tahun lalu.

Hj Ismail khususnya, setiap kali ada ahli keluarganya yang datang  saya diperkenalkan kepada mereka. “Ni keluarga ketani ni, orang Labuan, anak Cikgu Osman..” lebih kurang begitu ayatnya.

Ada yang memanggil saya dengan panggilan abang, dan ada pula yang memanggil pakcik kerana demikian saya diperkenalkan kepada mereka.

Rupanya di kalangan mereka ada yang pernah menghadiri majlis perkahwinan saya dan isteri di Kg Meruntum pada 2002 dahulu. Jelas meski tidak selalu bertemu – bahkan mungkin sekali itu sahaja – mereka mengingati saya.

Pernikahan Ainah berlangsung sedikit lewat kerana menanti jurunikah yang mempunyai undangan pernikahan di beberapa tempat sebelum itu.

Alhamdulillah, nikah disahkan oleh para saksi setelah akad berlaku 3 kali. Lucu pula rasanya jurunikah sendiri yang tersasul pada akad kali pertama.

Mudah-mudahan mereka berbahagia selamanya dan hubungan persaudaraan kita akan berkekalan.