Saya berpandangan, Wacana Pendidikan Fatwa anjuran Pejabat Mufti Negeri Sabah dan JAKIM yang diadakan di Dewan Kinabalu Kompleks Tabung Haji Sabah pagi semalam kalaupun tidak mencapai keseluruhan objektifnya, ia hampir mencapai sasarannya.

Saya datang atas kapasiti Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Negeri Sabah. Di dewan itu, audien pelbagai latar belakang saya saksikan namun kebanyakannya adalah penjawat awam termasuk pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri. Juga kelihatan pimpinan-pimpinan NGO Islam seperti ABIM, JIM, PUM, Yayasan Amal Malaysia dan lain-lain, juga para imam, guru-guru, AJK Masjid-Masjid dan sebagainya.

Saya juga mendapat maklum akan kehadiran wakil-wakil Jabatan Mufti seluruh Malaysia yang diundang hadir ke majlis ilmu ini.

Setahu saya, amat jarang sekali kedengaran Pejabat Mufti menganjur program besar yang mengundang umat Islam menghadiri suatu wacana atau seminar berkenaan kepentingan umat Islam. Jadi atas asas itu, penghargaan saya rakamkan kepada mereka semua di sana.

Saya memahami kalaupun tidak kesemuanya bahawa program ini bertujuan hendak mendidik masyarakat Islam bagaimana proses fatwa berjalan. Dengan memberi contoh dengan kertas kerja terhadap isu kehamilan luar nikah, satu kertas kedua dibincangkan tentang hukum menggugurkan kandungan. Umat didedahkan bagaimana sesuatu hukum diputuskan bukan dengan sesuka hati para alim ulama’, bahkan setelah meneliti pelbagai sumber hukum Islam barulah diambil suatu keputusan.

Tajuk ini sebenarnya menarik bagi audien yang hadir, kerana sebenarnya saya turut merasai perasaan geram masyarakat terhadap keengganan kerajaan melaksanakan Islam secara keseluruhan. Ia bukan sahaja melibatkan proses hukum hakam jinayat yang diabai dengan sengaja, tetapi bagaimana pemerintah sepatutnya memberi contoh yang baik terhadap rakyat yang dipimpinnya.

Semuanya tahu tentang antara punca masalah kegawatan sosial ialah kekurangan ilmu pengetahuan, keruntuhan institusi keluarga, gaya hidup yang tidak berlandaskan agama, serangan dan pengaruh media dan seumpamanya, namun punca-punca ini seperti diabaikan oleh pemerintah supaya diatasi.

Lihatlah suatu contoh dan pendekatan yang mudah, bagaimana kalau pendidikan agama itu kurang, sepatutnya diperkukuh dan diperkasakan. Seperti tiada usaha agar mata pelajaran agama Islam itu menjadi subjek wajib dan teras. Begitu juga budaya hiburan melampau pelbagai peringkat, daripada peringkat pemerintah sehingga rakyat marhaen digula-gulakan dengan hiburan.

Dua pembentangan dalam slot awal oleh Prof Madya Dr Harlina Haliza Siraj (Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi Jabatan Pendidikan Perubatan Pusat Perubatan, UKM yang juga Naib Presiden JIM) bertajuk ‘Isu Kehamilan Luar Nikah : Situasi Terkini Dalam Masyarakat Dan Kesannya Pada Generasi Umat Islam’, dan Prof. Madya Datin Dr. Paizah Hj. Ismail, (Ahli Jawatankuasa Fatwa MKI) bertajuk : ‘Hukum Menggugurkan Kandungan’, saya anggap berjaya dan mengesankan.

Saya tersentak apabila Dr Harlina menyatakan rakyat Malaysia masih dibuai dan lalai apabila kebanyakan masih mengatakan kebejatan masalah sosial di negara ini masih sedikit dan tidak teruk berbanding di Barat.

Statistik rasmi Jabatan Pendaftaran Negara 2005-2009  (5 tahun) mencatatkan bahawa jumlah anak tidak sah taraf adalah seramai 214,033, dan 74, 723 daripadanya adalah Melayu Islam. Kalau kita pecahkan lagi, purata setahun anak luar nikah ialah seramai 42,806 orang, sebulan 3567 orang, sehari 119 orang, dan 5 orang setiap jam.

Bagi saya pemerintah khususnya yang beragama Islam bertanggungjawab kerana tidak melaksanakan Islam secara keseluruhan – sama ada undang-undang, pendidikan dan lain-lain. Umat Islam dan rakyat Malaysia juga mempunyai saham yang mesti dijawab di hadapan Allah SWT apabila membiarkan negara ini ditadbir tidak dengan peraturan-Nya.

Sementara itu, pembentangan kedua oleh Dr Abd Hayei Bin Abd Shukor, (Ahli Jawatankuasa Fatwa MKI) dengan tajuk : ‘Amalan Khurafat dan Penggunaan Jin Dalam Masyarakat Islam’, meski hanya menceritakan perkara asas berkaitan dengan asal usul jin dan tersasar daripada tajuk yang dikehendaki, namun bagi saya pada peringkat ini amat wajar juga dan memadai untuk mengetahui perkara asas berkaitannya.

Untuk bercerita tentang makhlus halus bernama jin ini sudah tentu tidak memadai dengan masa yang terbatas, bahkan perlu kepada perbincangan lanjut yang berkaitan dengan amalan khurafat.

Saya meyakini sebahagian daripada jumlah 800 audien pelbagai latar belakang yang memenuhi dewan agak bersemangat pada awalnya, namun kemudian kurang berpuas hati, dan mereka telahpun membuat cadangan di dalam kertas soal selidik yang diedarkan. Mudah-mudahan itu diperhati oleh urusetia yang bertanggungjawab.

Keseluruhannya, tahniah buat Pejabat Mufti Negeri Sabah dan JAKIM yang bekerja keras menjayakan program penting ini. Mudah-mudahan membuka mata dan hati semua pihak yang berkepentingan akan maksud dan tujuan tersiratnya. Semoga ada lagi program seumpama ini pada masa akan datang untuk menyuntik kesedaran umat Islam dan tanggungjawab mereka di hadapan Allah SWT.