DJ Napsiah & DJ Saodah sedang melakukan persiapan sebelum keudara

Sebenarnya, sejak malam isnin saya sudah rasa tidak sedap badan. Pagi isnin, ketika saya singgah ke klinik di Putatan, doktor memberikan saya cuti sehari kerana suhu badan mula panas. Namun saya ke pejabat juga sebentar sebelum pulang menjelang tengahari.

Pada selasa, ketika merasa demam akan pulih, rupanya menjelang petang rasa lemah semakin kuat. Saya lawan juga kerana malam itu saya menjadi tamu di Sabah FM. Lagipun persiapan berkenaannya belum selesai kerana sehari sebelum itu saya tidur panjang di rumah.

Saya ke konti Sabah FM dalam keadaan kepala bertampal. Memang panas. Saya tiba 5 minit sebelum ke udara. Di sana  DJ Rais (DJ Perantara JHEAINS), Ust Pg Ismail (JHEAINS) serta DJ Hjh Napsiah menanti di luar bangunan.

Di studio ketika itu DJ Puan Saodah Hj Wahid sedang bertugas dan bertukar giliran dengan Hjh Napsiah yang kedua-duanya sudah saya kenali sebelum ini.

Tajuk yang dipersetujui ialah tentang ilmu qiraat yang merupakan satu cabang ilmu al-Quran yang sangat luas. Ilmu qiraat sendiri pun memang ilmu yang berkaitan langsung dengan al-Quran dan begitu hampir dengan umat Islam kerana qiraat itu sendiri bererti bacaan-bacaan.

Ada beberapa soalan pokok yang kami perbincangkan ketika itu, iaitu berkaitan takrif qiraat dan sejarah ringkasnya; makna 7 huruf, pengertian qiraat 7 dan qiraat 10, contoh-contoh dan bentuk khilaf dan akhirnya saya memberikan contoh bacaan al-Fatihah bagi riwayat Qunbul, qiraat Ibnu Kathir.

Sebenarnya saya dimaklumkan dalam tempoh tidak sampai 20 minit terakhir, penerbit menerima 8 panggilan kesemuanya. Namun, 4 daripada mereka terputus dan hanya 4 pemanggil dapat dilayan dan diperdengarkan Fatihah mereka dengan riwayat Qunbul.

Alhamdulillah, tanpa saya sedari apabila selesai program berkenaan, rasa panas badan itu sudah pun hilang. Insya Allah, segmen seterusnya pada selasa hadapan pada waktu yang sama, juga bersama Abu Nuha menyambung perbincangan ilmu qiraat.

DJ Hj Awang Shari Hj Ramli yang mengambil tugas pada jam 9.10 malam sesudah berita jam 9.00 malam.