Sebelah pagi rabu semalam, saya hadir ke SK Kem Lok Kawi.

Pihak sekolah melalui Panatia Agama Islam yang diketuai Ust Azlan Abd Aziz menubuhkan Akademi al-Quran dan Tahfiz untuk 30 murid terpilih antara darjah 1-5.

Di Bilik Gerakan, para ibu bapa kepada murid yang terlibat diberi taklimat tentang penglibatan mereka. 15 murid terlibat dalam akademi al-Quran dan 15 orang lagi akademi tahfiz.

Saya perhati, daripada 30 pelajar itu hanya 10 orang murid lelaki dan bakinya perempuan. Anak sulung, Nuha terpilih dalam akademi tahfiz.

Sehingga penghujung persekolahan tahun ini, pelbagai program disusun mengikut bahagian masing-masing. Contohnya, para murid akan dibimbing pada masa-masa tertentu setiap minggu untuk memahirkan bidang yang dipilih.

Dalam bahagian tahfiz, penganjur mensasarkan juz ‘Amma untuk dihafaz. Sementara dalam bahagian al-Quran, beberapa lagu tarannum akan diajar sehingga mahir kepada para pelajarnya. Mereka juga disediakan guru angkat untuk memantau perkembangan masing-masing.

Saya lihat para ibu bapa teruja dan bersemangat dengan penglibatan anak masing-masing tambahan lagi setelah diberi taklimat dengan bersungguh-sungguh oleh pihak sekolah. Mudah-mudahan usaha ini berjaya dengan  pimpinan oleh Allah SWT.