Rasa badan mula kurang selesa pada lewat petang ahad. Namun saya gagahkan juga untuk memandu bersama keluarga ke Kg Likas menghadiri kenduri kesyukuran dan aqiqah sempena kelahiran anak ketiga ipar saya.

Naim, demikian nama diberi telah lahir pada 8 April. Di sebelah pihak Datuk Ismail Abbas, ini adalah cucu yang ke-26 sementara di sebelah kami ini cucu ke-16.

Rupanya, majlis marhaban terlebih dahulu diadakan sesama kaum ibu selepas maghrib. Manakala sesudah isyak, tidak lama sesudah kami tiba, giliran majlis marhaban dan doa untuk kaum bapa pula.

Ramai orang kampung khususnya jamaah Masjid Kg Likas dan Masjid Bandaraya hadir. Antaranya termasuk Datuk Hj Matusin Ag Damit, Hj Syed Hussin Habib Omar dan Ust Hj Parmin Sahlan yang mengetuai bacaan solawat dan doa.

Dua ekor kambing telah selamat ditumbangkan sempena kenduri aqiqah ini.