Sebenarnya sejak zaman sekolah, antara tempat yang saya sukai kalau berkunjung ialah Bangunan KWSP di Karamunsing. Tiada pusat membeli belah, tiada kedai hebat, hanya pejabat-pejabat kerajaan dan swasta.

Tetapi saya suka pokok-pokok bunga di situ. Seingat saya ketika pertama kali berkunjung ke sini semasa tingkatan 3 pada 1994, pokok-pokok bunga yang cantik ini sudah ada.

Ketika itu saya ingat bersama rakan-rakan kami melakukan kerja kursus di Kampung Sembulan Lama (yang saya lupa tajuknya). Berjalan sehingga kami sampai ke sini dan sempat beraksi depan kamera bergilir-gilir.

Teringat lagi kami bergambar di hadapan tanda nama UMNO yang terpampang kerana ketika itu pejabat UMNO di situ dan baru bertapak di Sabah.

Apatah lagi air pancut yang ada di hadapan blok B itu selalu membuatkan saya terperap duduk memerhati. Alah, orang kampung.

Gambar-gambar ini saya rakam lewat petang sabtu, setelah selesai kelas mengaji al-Quran di tingkat 8 blok B.