Bersama rakan-rakan lain, kami diberi amanah menghakimi beberapa kategori pertandingan sempena Festival Kesenian Islam KEMAS Negeri Sabah 2010 di Dewan Kinabalu, Kompleks Tabung Haji semalam.

Ada pertandingan Marhaban & Barzanji, Tilawah al-Quran, Pidato dan Nasyid. Saya terlibat sebagai hakim tajwid dalam tilawah al-Quran bersama-sama Ust Hj Abd Rahman Talipudin, Ust Hj Parmin Sahlan dan Ust Yusuf Ali.

Festival ini diadakan selama dua hari, sabtu dan ahad. Hari ini hanya sebagai majlis penutupan manakala semua pertandingan berlangsung seharian pada semalam. Nasyid yang menjadi tumpuan dilangsungkan sebelah malam.

Saya datang sekitar jam 10.30 pagi untuk memulakan tilawah al-Quran. Ketika itu pertandingan marhaban dan barzanji  di penghujung acara dan penonton agak ramai. Selepas rehat tilawah mengambil tempat untuk menguji 10 peserta qari dan qariah.

Para hakim diletakkan di hadapan sekali, berhadapan dengan peserta. Namun saya terkejut apabila menoleh ke belakang, audien yang terlalu sedikit. Ke mana menghilang penonton yang hampir memenuhi dewan awal tadi. Adakah benar mengaji al-Quran tidak diminati orang?

Hanya sedikit penonton sebelah kanan dan kiri, sementara di ruang tengah hampir kosong. Hanya berisi di barisan pertama dengan beberapa orang muslimat.

Selesai majlis tilawah dan jamuan, saya tidak menanti lama kerana program seterusnya di Bangunan KUWASA. Terima kasih KEMAS memberi peluang kami menyumbang khidmat dalam majlis ini.