Sebagaimana yang direkodkan oleh Bukhari, Muslim, Tirmizi, Nasa’ie, Darimi dan Ahmad, dikisahkan oleh Zahdam al-Jarmi :

“Suatu hari kami berkumpul bersama Abu Musa al-Asy’ariy RA lalu dihidangkan kepada kami daging ayam. Melihat hidangan itu, ada seorang lelaki yang mula menjarakkan diri.

Abu Musa bertanya kepadanya : Kenapa kamu menjauhkan diri?  Lelaki berkenaan menjawab : Aku melihat ayam memakan makanan yang kotor. Maka aku bersumpah untuk tidak memakannya.

Abu Musa berkata : Mari ke mari. Sebenarnya, aku pernah melihat Rasulullah SAW memakan daging ayam”.

***

Di sisi rumah kami, buat masa ini ada beberapa reban yang mengandungi tidak kurang 40 ekor ayam pelbagai saiz dan umur. Ada baru berumur 2 minggu, ada yang sudah 2-3 bulan dan ada yang menanti saat untuk disembelih.

Ada ayam telur, ayam daging (ayam karan) dan ayam kacukan siam. Tempohari ada banyak ayam kampung tetapi sudah habis disembelih. Biasanya sebulan, ada sekali dua kami menyembelih 3-4 ekor ayam sekaligus.

Ada untuk makan sendiri, ada juga untuk sedekah kepada jiran.

Namun, saat kita memakan ayam, bukan sahaja harganya yang sederhana dan dagingnya yang sedap, tetapi tolong ingatkan sama bahawa daging ayam adalah salah satu makanan sunnah yang digemari oleh Rasulullah SAW.

Oh ya, kami juga kini ada lebih kurang 10 ekor arnab termasuk 4 ekor yang baru berumur sebulan.