Melalui rekod seorang sahabat bernama Abdullah bin Mas’ud, Rasulullah SAW pernah bercerita berkenaan lelaki terakhir yang keluar neraka dan terakhir pula masuk syurga :

“Aku mengetahui orang yang terakhir sekali keluar dari neraka. Seorang lelaki keluar dari neraka dalam keadaan merangkak. Maka dikatakan kepadanya : “Keluarlah! Masuklah ke dalam syurga”.

Lelaki berkenaan pun bergerak pergi dari neraka menuju ke syurga.

Tetapi..

Lelaki berkenaan melihat rumah-rumah sudah bertuan dan didiami oleh penghuni masing-masing. Ia kemudian berpatah balik keluar.

Dia mengadu : “Wahai Tuhanku, sudah penuh! Orang-orang di syurga sudah memenuhi rumah-rumah mereka”.

Lelaki berkenaan ditanya : “Masihkah kamu ingat tentang zaman hidupmu di dunia dahulu?”

Ya, jawabnya.

Dikatakan kepadanya : “Sekarang beranganlah kamu! Bayangkanlah apa yang kamu inginkan di syurga ini”.

Lalu lelaki berkenaan pun berangan-angan. Apa saja yang terlintas di dalam hatinya dan pemikirannya.

Kemudian angan-angannya dijawab dan diperkenan : “Sesungguhnya kamu telah memperolehi apa yang baru saja kamu angankan, bahkan digandakan 10 kali ganda lagi berbanding apa yang ada di dunia!”

Mendengar hal itu, lelaki itu berkata : Wahai Tuhanku! Adakah Engkau menghina dan mempermain-mainkan aku? Padahal Engkau adalah Tuhan yang Maha Perkasa!

Demikian Nabi SAW bercerita tentang kisah penghuni terakhir keluar neraka dan orang terakhir masuk ke dalam syurga. 

Abdullah bin Mas’ud mendedahkan : “Ketika itu aku melihat Rasulullah SAW tertawa sehingga gigi geraham baginda jelas kelihatan”. (HR Bukhari, Muslim, at-Tirmizi dan Ahmad)

***

Hadith ini kami baca melalui kitab hadith Syamail Muhammadiyyah susunan Imam at-Tirmizi ketika kuliah maghrib di Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan malam tadi.

Alhamdulillah, kedudukan mereka yang hadir dalam kuliah ini juga semakin tertib dan tersusun.

Kuantiti pendengar juga semakin bertambah dan sudah semakin ramai yang membeli dan memilik buku berkenaan untuk sama-sama menyemaknya. Saya perhati, sudah lebih 40 orang.

Mungkin hasil keberkatan daripada Allah SWT setelah kuliah intensif hadith 40 yang dibimbing oleh Ust Zainul Asri sepanjang sabtu lalu di masjid ini. Mudah-mudahan Allah SWT memberi hidayah istiqamah kepada kita semua.