Archive for 16 Mei 2010


Sekadar beberapa nama guru kelas yang sangat berjasa.

1) Cikgu Salina (Tadika Kg Lubok Temiang 1984-85)

2) Cikgu Norsiah Saman (Darjah 1), Cikgu Sidek Hj Said (Darjah 2), Cikgu Abindi Samat (Darjah 3). Darjah 1 – 3 di SK Lubok Temiang WP Labuan.

3) Cikgu Rosnah (Darjah 4), Cikgu Rafiah Ismail (Darjah 5), Cikgu Othman Md Noor (Darjah 6). Darjah 4 – 6 di SK Pekan 2, WP Labuan.

4) Ustaz Adam Abdul Hai (Tingkatan 1), Cikgu Maimunah Matlan (Tingkatan 2), Cikgu Hashimah Jamangin (Tingkatan 3),  Ustazah Hjh Ngaisyah Darmat (Tingkatan 4), Cikgu Jonisah Harimin (Tingkatan 5). Tingkatan 1-5 di SMUI Toh Puan Hajjah Rahmah, Kota Kinabalu.

5) Pensyarah di Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat Negeri Sabah (1995 – 1999) – Datuk Hj Asmali Bachi, Ust Pajudin Nordin, Ust Zaidi Edward, Ust Hj Abu Bakar Omar, Ust Hj Muchlish Ali Kasim dan Ust Hj Ghazali Sulaiman.

6) Pensyarah di Maahad Qiraat al-Azhar, Shoubra (sebahagian) (2000 – 2003) – Shaikh Abd Rahim al-Banna, Shaikh Muhammad Abdun Nabiy, Shaikh Hassan, Shaikh Judah, Shaikh Isa dan lain-lain.

Sesungguhnya tiada istilah bekas kepada guru walaupun mereka sudah pencen atau dipencenkan oleh Allah SWT. Namun yang penting, ilmu mereka berbekas dalam diri dan kehidupan kita.

Walaupun tidak semua namanya tercatat di sini, sesungguhnya nama dan budi baik mereka dicatat oleh Allah SWT. Jika ada umur dan kesempatan, ingin sekali saya bertemu dengan mereka semua sekali lagi.

Semoga Allah SWT memberikan pahala yang berlipat kali ganda kepada mereka, memberi kebahagiaan, keampunan, rahmat dan kasih sayangNya. Allahumma, amin!


Beberapa hari sebelum ini, saya sudah dimaklumkan akan kedatangan Dr Md Arip Kasmo ke Sabah untuk program ceramah Sains Dalam al-Quran di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan pada malam sabtu anjuran siswa-siswi Sabah yang menuntut di USM.

Pada hari ketibaan beliau, baru saya tahu pula bahawa Dr Arip hanya balik pada malam isnin (malam ini) dan beliau mempunyai banyak masa yang terluang untuk mengisi program ceramah seumpama itu.

Beberapa rakan-rakan yang mengajar di sekolah-sekolah dihubungi untuk meminta laluan ceramah buat Dr Md Arip Kasmo, namun kebanyakannya berhalangan. Tidaklah mereka dipersalahkan kerana permohonan kami dibuat secara mengejut bagi mengisi ruang penceramah.

Hajat saya untuk membawa ke SMAI Papar di Pantai Manis bermula apabila pengetuanya Ust Hamdani Omar tersalah dail menghubungi saya sedangkan beliau hendak bercakap dengan orang lain. Ketika itu saya baru berkira-kira mencari sekolah dan asrama yang berkelapangan.

Alhamdulillah, Prof Dr Md Arip pula bersetuju untuk berjalan ke sebelah Papar dan Ust Hamdani saya hubungi semula untuk memohon persetujuan sekolah mengadakan ceramah yang bermanfaat ini.

Kami – Dr Md Arip, Ust Amir Hamzah dan saya, tiba di surau sekolah hampir jam 7 malam dan pihak sekolah ketika itu sedang menyediakan persiapan dan kelengkapan ceramah untuk Dr Md Arip.

Saya kira dengan kedatangan Dr Md Arip Kasmo ke sekolah ini membawa ruang dan hubungan baru khususnya dalam mengadakan pengisian untuk pelajar sekolah apatah lagi sekolah agama.

Ceramah hampir 100 minit berlangsung, saya nampak para pelajar sekitar 400 orang itu dan guru yang hadir begitu gembira dan teruja walaupun sesekali agak kebingungan kerana fakta-fakta bernombor yang dibentangkan beliau.

Sebelum pulang, Dr Arip juga ada menghadiahkan beberapa naskhah buku beliau untuk koleksi perpustakaan sekolah.

Nampaknya pihak sekolah gembira dengan kehadiran beliau, dan Dr Arip sendiri juga gembira kerana diberi ruang menyampaikan ceramah yang begitu menarik berkenaan Sains & al-Quran itu.

%d bloggers like this: