Archive for 15 Mei 2010


Tarikh : 15 Mei 2010 (Sabtu)

Masa : 8.30 pagi – 3.00 petang

Lokasi : Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan

Jam 8 pagi, saya lalu di kampung ini. Saya bertanya dengan beberapa sahabat, baru 4-5 orang peserta yang datang. Majlis pengajian belum lagi bermula. Ustaz Zainul Asri pun belum datang.

Saya pula ke Menara Petronas Sabah untuk menunaikan amanah hakim Majlis Tilawah al-Quran di sana.

Jam 10 pagi saya bertanya lagi berapa jumlah kehadiran di Masjid as-Sobirin kepada rakan di sana. Saya dimaklumkan kehadiran sudah melebihi 80 orang  dan pengajian sedang berlangsung.

Ustaz Zainul dalam program ziarah ke Sabah dan beberapa program ilmu diatur. Yang utamanya di masjid ini. Selesai acara dan tanggungjawab saya di Petronas, saya ke Masjid as-Sobirin pula.

Tahun lalu, Ustaz Zainul mengisi program yang sama, tetapi di Surau Riyadhus Solihin Taman Austral. Kali ini dibawa ke kawasan perkampungan dan Kg Sipanggil dipilih kerana berada di tengah-tengah Putatan dan kawasan letak kereta yang selesa dan luas.

Tahun lalu, Ustaz Zainul menghurai hadith pertama hingga hadith ke-19. Di sini pula, beliau menyambungnya kembali. Walaupun hanya dapat 8 hadith, saya dibisik dan dikomen ramai peserta khususnya penduduk tempatan yang ternyata gembira dan berpuas hati dengan program ini.

Yang menggembirakan saya, dalam keseluruhan hampir 100 orang yang hadir itu, ramai anak muda khususnya anak tempatan yang hadir bukan sahaja dari kampung ini bahkan dari luar juga. Pengerusi, AJK dan jamaah regular masjid ini turut sama seharian di sini termasuk imam-imam dan bilalnya.

Akhir majlis, pihak penganjur daripada Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Sabah menyampaikan cenderamata kepada JK Masjid as-Sobirin. Penyampaian dilakukan oleh Ustaz Zainul sendiri dan diterima oleh Tuan Hj Ag Damit Yusuf selaku pengerusi masjid.

“Kalau ada penceramah, mau lagi?’ Tanya saya.

“Eh, maulah ustaz”. Kata mereka.

 

Pagi ini sebagaimana diarahkan oleh jabatan, saya hadir bersama rakan-rakan dari JHEAINS membantu sebagai hakim Majlis Tilawah al-Quran (MTQ) Petronas Sabah kali ke-19 di Menara Petronas Kota Kinabalu.

Bagi kategori tilawah, ada bahagian kanak-kanak, remaja dan dewasa yang terbahagi kepada lelaki dan perempuan. Juga ada kategori hafazan kanak-kanak, remaja dan dewasa, tilawah murattal dewasa serta kuiz.

Faham saya, para peserta terdiri daripada warga Petronas dan juga ahli keluarga mereka seperti suami, isteri dan anak-anak.

Saya bersama Ust Md Hailmi Misbah, Ust Ridhuan Othman dan Ust Abd Wahab Sidek diamanahkan sebagai hakim hafazan dan tilawah murattal, sementara Datuk Hj Mokhtar Rapok, Ust Ibrahim Kisab, Ust Abd Rahman Talipuddin dan Ust Abdillah Nanun sebagai hakim tilawah.

Ust Hj Md Taif Kasim bertindak sebagai ketua hakim keseluruhan.

Alhamdulillah, bahagian kami selesai menjelang tengahari sementara yang lain sehingga asar. Secara peribadi, saya melihat potensi anak-anak dan remaja yang mampu menghafaz dengan lancar surah-surah lazim dan surah lain dalam juzu’ 30 dengan baik dan boleh digilap sehingga menghafaz keseluruhan al-Quran.

%d bloggers like this: