Nabi kata, orang mati tidak boleh beramal lagi. Yang ada hanya 3. Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan untuknya. Ketiga-tiganya boleh sampai kepada orang yang sudah mati pahala dan doanya.

Sedekah jariah ertinya sedekah yang mengalir pahalanya kepada orang yang bersedekah, walau ia sudah meninggal dunia. Selama barang sedekahnya masih dimanfaatkan, pahalanya tetap sampai kepadanya.

Ilmu yang bermanfaat ertinya sebarang ilmu yang diamalkan oleh orang yang diajar. Selama ia diamalkan, pengajar dan pelajarnya mendapat manfaat bersama. Bayangkan pula ilmu itu turun kepada orang lain, dan turun lagi dan turun lagi.

Anak soleh yang mendoakan untuknya. Anak soleh ertinya sesiapa sahaja yang bergelar anak mendoakan orang lain sama ada bapanya, anaknya atau orang lain, kerana sunnatullah bukannya bapa mesti mati dahulu daripada anak. Kalau seorang anak mati dahulu, sudah tentu bapanya tetap boleh mendoakannya.

Tetapi sudah tentu yang paling utama ialah seorang anak yang mendoakan orang tuanya.

Namun sebelum seorang anak itu diharap mendoakan ibu bapanya, sudah tentu menjadi kewajiban orang tua mengajar anaknya tentang perkara-perkara fardhu ain seperti solat, mengaji al-Quran dan seumpamanya, ataupun menghantarnya belajar dengan seorang guru.

Bagaimana seorang bapa mengharapkan doa anak-anaknya, jika ahli keluarga tidak pernah diajar solat, tidak tahu tilawah al-Quran. Yang biasa diajar dan diteladani anak ialah karaoke yang menjadi cara hidup si bapa dan si ibu.

Jadi, oleh kerana di rumah tidak pernah solat, mengaji al-Quran, wasiatkan saja anak-anak begini :

“Nak, nanti kalau bapa mati, jangan lupa selalu ziarah kubur bapa. Di sana nanti, jangan lupa karaokekan bapa. Bapa mesti gembira dan tidak kesunyian di sana. Opss, lagu duet Hail Amir dan Uji Rashid yaa nak. Bapa minat tu..”

Amacam? Boleh?