‘Jelous’ pun ada, gembira pun ada, apabila melihat foto-foto pertemuan semula 3 sahabat yang pernah menjadi aktivis Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Sabah dan kini sudah berpindah ke Semenanjung Malaysia.

Ust Hj Abdullah Din, Che’gu Jamil Dayan dan Ust Md Khaidir Ishak.

Satu ketika kami pernah rapat, bahkan sehingga kini masih berhubungan sama ada melalui telefon, sms, blog dan facebook. Insya Allah, akan berkekalan.

Awal bulan ini, ketika saya sekeluarga dalam perjalanan untuk percutian di Mimpian Jadi bersama ahli-ahli usrah dengan keluarga masing-masing, Ust Hj Abdullah Din ada menghubungi saya.

Ust Abdullah adalah naqib pertama usrah kami. Beliau berpindah ke Kedah hampir 2 tahun lalu, amanah itu kemudiannya berpindah kepada saya, walaupun rasanya sayalah yang paling junior di dalam usrah ini.

Antara mandat yang diberikan dalam kumpulan usrah kami ialah berkenaan isu-isu aqidah seperti gejala murtad yang melanda umat Islam. Kes-kes seumpama itu datang satu demi satu, sama ada melibatkan guru, pelajar atau siswa/siswi.

Ada kes melibatkan muslimah baka (lahir Islam), walaupun kebanyakan kes adalah saudara kita (muallaf).

Modul kursus dan program pemantapan aqidah disusun khususnya bersama Hj Nicholas Sylvester (JIM) yang pernah berada dalam agama Kristian satu masa dahulu. Modul itu kemudiannya dibukukan dan dijual di pasaran.

Kebanyakan sekolah-sekolah menengah di sekitar Kota Kinabalu merasai nikmat kursus itu. Program ini diletakkan di bawah program utama dan tetap bagi Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Sabah.

Ia melibatkan pelajar menengah atas seramai 100 orang untuk satu-satu kursus. Sesekali keluar juga ke sekitar Pantai Barat Selatan atau ke Pedalaman Atas dan Pantai Barat Utara.

Setelah Ust Abdullah pindah, program berkenaan diteruskan dengan seliaan Ust Mohd Khaidir Ishak dengan masih dibantu oleh Che’gu Jamil dan rakan-rakan yang lain.

Apabila mereka semua berpindah, kini Ust Amir Hamzah mengambil peranan. Memang kini secara jujurnya agak perlahan kerana hambatan tugasan yang lain, tapi insya Allah rakan-rakan lain tetap membantu.

Ketika kami berprogram di Mimpian Jadi, tarikh yang sama sahabat kami yang bertiga itu pula berprogram di SMK Tambun Ipoh, tempat Che’gu Jamil bertugas. Program Memperkasa Aqidah melibatkan 100 pelajar tingkatan 4 dan 5 sekolah berkenaan.

Ust Hj Abdullah Din dan Ust Md Khaidir Ishak menjadi penceramah dalam program ini. Saya tabik Che’gu Jamil, belum setengah tahun di sekolah baru, sudah ada program besar dan bermanfaat untuk anak didik di sana.

Semoga bertemu di lain kesempatan. Terima kasih Ust Khaidir yang meng-emel gambar dan maklumat.