Pagi sabtu, saya mengisi slot Bimbingan Teratak Fitrah – kelas yang diadakan saban minggu untuk saudara kita. Lokasinya di bangunan Madrasah Islamiah Masjid Negeri Sabah (MIMNS) bersebelahan dengan bangunan Mahkamah Syariah.

Alhamdulillah, kelas ini sudah berlanjutan sejak tahun 2002. Meski berubah lokasi beberapa kali, ia tetap bertahan dan menerima sokongan dan kehadiran golongan muallaf.

Dari bangunan Kolej Ibu Kota di Sembulan (kini Hotel Yaho), ke bangunan SMUI Toh Puan Hajjah Rahmah, kemudian ke Masjid Bandaraya dan kini ke kembali ke MIMNS di Sembulan.

Alhamdulillah, saya sejak awal sudah terlibat meski tidak begitu sejak kebelakangan. Sebelum ini hampir setiap minggu saya datang membantu khususnya terlibat dalam kelas-kelas mengaji al-Quran pada sebelah awal pagi.

Kini saya hanya datang pada kelas fardhu ainnya menurut jadual yang ditetapkan atau mengganti tenaga pengajar yang berhalangan. Biasanya sekali dalam tempoh 2-3 bulan.

Kali ini, ada dua jadual yang diamanahkan.

Pertama di kelas tahap 3, subjek akhlak bertajuk mengingati mati dan zikir mengingati Allah SWT. Nabi SAW pernah mengingatkan bahawa orang yang bijak ialah orang yang bersedia untuk selepas matinya.

Dengan mengingati mati, kita akan melakukan sesuatu kerja dengan bersungguh dan teliti, kerana ada nilaian dan markahnya di sisi Allah SWT.

Saya juga mengambil kesempatan bercerita dan menghuraikan hadith tentang 3 amalan yang terus menerus menjadi bekalan seseorang walaupun sesudah matinya : sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang berdoa untuknya.

Ketiga-tiga amalan itu mendapat reaksi positif kaum ibu yang hadir dengan soalan-soalan yang bertubi bertanya lebih lanjut. Mudah-mudahan hadith berkenaan menjadi pendorong mereka dan kita semua untuk beramal.

Sesi kedua di kelas tahap 2, subjek fekah bertajuk solat-solat sunnat. Antara yang sempat dihuraikan dalam masa yang terbatas itu ialah solat hari raya, solat tarawih, solat istisqa dan solat gerhana.

Khusus tentang solat raya dan tarawih, kebanyakan mereka sudah pernah menyertainya sekali atau dua kali kerana baru memeluk Islam beberapa tahun kebelakangan. Selain diceritakan tentang tatacara melakukannya, sempat juga diceritakan serba sedikit tentang kelebihannya.

Sambil menyandang kamera di bahu, mengambil gambar lebih kurang, saya sempat juga bercerita tentang blog dan facebook abu nuha. Yang muda-muda fahamlah dan berebut meminta alamatnya.