Archive for 9 Mei 2010


Jemput hadir beramai-ramai.

 

Ini Apek. Arnab pertama yang berumur hampir 3 tahun. Saya beli dan memeliharanya sejak hari raya kurban pada 2007. Apek ini manja dengan saya. Tapi.. kalau jumpa arnab sumandak, habislah dikerjakannya.

Sudah hampir 3 tahun kami memelihara arnab.

Pernah letak di dalam rumah, di beranda dan kini di laman rumah dengan sangkar atau reban sendiri. Reban itu ada yang dibeli dan ada yang kami tukangi sendiri.

Kali pertama membeli dan menternak arnab, ada 4 ekor atau 2 pasang semuanya. Diantara arnab yang saya beli sejak awal, yang masih bertahan hanya tinggal seekor yang kami panggil Apek.

Sementara baki lain yang ada adalah arnab yang saya beli kemudiannya sama ada daripada kecil (biasanya umur sebulan) atau yang sudah sedikit dewasa.

Jumlah arnab dewasa kami sekarang ialah sebanyak 6 ekor atau lebih jelasnya 3 pasang. Umur mereka antara 1 hingga 2 setengah tahun.

Kalau dikira anak arnab yang pernah dibeli mungkin sudah mencecah puluhan ekor, namun kebanyakannya mati dengan pelbagai akibat dan sebab. Begitu arnab-arnab betina yang beranak, jika dihitung juga mungkin anak-anaknya sudah mencecah puluhan ekor.

Tidak sedikit juga nasihat dan bacaan yang saya perolehi untuk mencuba menternak arnab sejak lahirnya. Ada yang sarankan tempat tinggalnya di reban biasa dan melarang ditempatkan reban yang bertanah. Tidak kurang juga sebaliknya.

Kini saya mencuba sesuatu yang baru. Ada reban arnab kami yang bertingkat. Jadi ruang di tingkat bawah sekali yang berlantaikan simen saya alaskan dengan tanah liat setebal 4-5 inci, bersesuaian dengan habitat asalnya.

Di ruang ini saya khususkan untuk ibu arnab yang menunggu hari untuk bersalin.

Akhir bulan lalu, 2 ekor arnab betina beranak hampir selang sehari. Seekor daripadanya diletak di reban bertanah. Beberapa hari sebelum bersalin, saya perhatikan ia mula menggali lubang dan mencabut bulu-bulu badannya bagi melindungi anak yang bakal lahir.

Saya tidak tahu jumlah asal anak yang dilahirkan kerana terlindung di lubang dan tertutup dengan bulu-bulu badan ibu arnab. Tapi sesekali bulu-bulu yang bergumpal itu bergerak juga hasil pergerakan anak-anak arnab di bawahnya.

Kini sudah hampir dua minggu, anak-anak arnab yang tinggal sebanyak 4 ekor membesar dengan baik sekali dan saya tidak banyak mengusiknya. Pengalaman dahulu, anak yang lahir tidak pernah hidup lebih 2 minggu.

Empat ekor ini, selepas seminggu tumbuh bulu yang cantik, dan selepas 2 minggu semuanya sudah membuka mata, bermain dan berlari di sekitar ruangnya yang ada, namun masih menyusu badan dengan ibunya. Mungkin sedikit hari lagi, anak-anak ini sudah boleh makan sendiri.

Tidurnya tidak lagi di balik lubang yang digali ibu mereka, atau di balik gumpalan bulu yang menjadi selimut mereka. Kini mereka mula tidur bebas. Saya akan membiarkan mereka di sini sehingga ibu yang lain mengambil tempat untuk beranak pula.

Sebenarnya, hampir setiap hari setelah pulang kerja sebelah petang atau pulang dari program luar lewat malam, arnab-arnab ini menjadi tempat saya bersendirian seketika. Memberi makan, membelai dan memerhati keadaan mereka seekor demi seekor.

Ketika saya bermalam di luar daerah kerana tugasan atau program tertentu, isteri akan memberi maklum perkembangan arnab jika terdapat sesuatu khabar yang perlu diberitahu seperti kelahiran, sakit, kematian dan sebagainya.

Hampanya saya dengan kematian anak-anak mereka satu demi satu sebelum ini, dan sayangnya saya dengan arnab-arnab ini membuatkan salah satu doa saya di Makkah tempohari agar arnab kami membiak dengan baik.

Allah SWT Maha Mendengar. Kini anak-anak arnab mula membesar dan seekor ibu arnab lagi sedang menghitung hari untuk bersalin.

Gambar atas. Salah seekor anak arnab yang dilahirkan ibunya di aras atas reban. Gambar bawah adalah ibunya.

Gambar atas. Sepasang arnab. Putih adalah jantan dan sang betina di sebelahnya tengah bunting. Dalam masa yang sama, ketika ini betina ini kurang sihat kerana kutu yang hinggap di badannya.

Gambar atas. Ini namanya Nabeel. Antara arnab yang senior.

Gambar atas. Gambar bertarikh 1 Mei 2010 menunjukkan ibu arnab yang baru bersalin beberapa hari sebelumnya. Di sebalik gumpalan bulu-bulunya yang dicabut itu, terdapat beberapa ekor anak yang berselimut di bawahnya.

 Nantikan gambar seterusnya akan menyusul….

%d bloggers like this: