Ibadah tahnik merupakan suatu yang dianjurkan oleh syariat apabila seorang anak dilahirkan selain azan, iqamah, cukur rambut, khitan, aqiqah dan memberi nama yang baik.

Di kalangan masyarakat tempatan khususnya di sebelah sini, ibadah tahnik dianggap asing dan jarang dilakukan. Mengazan dan mengiqamahkan bayi yang baru lahir biasa diketahui orang, begitu juga khitan dan memberi nama yang baik.

Namun ada sedikit masalah dalam pelaksanaan menggunting dan mencukur rambut bayi, di mana biasanya rambut bayi dibuat secara separuh-separuh sedangkan yang paling afdhal ialah mencukurnya sehingga botak.

Tetapi dalam soal tahnik, ia agak asing. Ketika anak abang saya lahir beberapa tahun lepas, diadakan kenduri kesyukuran seterusnya menggunting rambut seperti kebiasaan masyarakat kampung. Namun ibadah tahnik yang saya lakukan dipandang hairan dan aneh oleh mereka yang hadir kerana tidak pernah melihatnya.

Sayugia ibadah ini mesti dihebahkan dan dibuat secara terbuka supaya ia diketahui ramai, seterusnya diamalkan oleh ibu bapa yang mendapat bayi nanti. 

Ketika kehadiran Dato’ Ismail Kamus, beberapa sahabat termasuk saya mengambil kesempatan untuk meminta beliau mentahnikkan anak masing-masing setelah ceramah berakhir di Surau Riyadhus Solihin.

Memang seperti yang saya jangka, tidak ramai yang mengetahui ibadah tersebut. Ada yang tertanya-tanya apakah yang hendak dibuat oleh Ustaz kepada bayi-bayi berkenaan.

Alhamdulillah, setakat lima cahayamata kami, semuanya ditahnik oleh para alim ulama’.

Anak sulung ditahnik oleh 5 orang, antaranya seorang sahabat saya lulusan al-Azhar di Mansoura Mesir, 2 orang ulama qiraat yang saya berguru dengan mereka, dan Sheikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Makki al-Banjari di Kaherah saat Nuha berumur 3 minggu.

Anak kedua dan keempat ditahnik oleh Ust Hj Muchlish Ali Kasim, anak ketiga oleh Ust Hj Abdullah Din sementara anak kelima ditahnik oleh Dato’ Hj Ismail Kamus semalam. Kelima-lima anak saya ditahnik pertama kali oleh saya sendiri sebelum orang lain.