Dalam hidup saya sehingga kini, ada empat orang guru yang banyak memberi kesan serta mempengaruhi saya dalam ilmu pengetahuan agama, kaedah berdakwah, berceramah dan sebagainya.

Datuk Hj Asmali Bachi, Ust Hj Muchlish Ali Kasim, Ustaz Dato’ Hj Ismail Kamus dan Sheikh Nuruddin Marbu al-Makki al-Banjari.

Datuk Hj Asmali Bachi mula saya rapati sejak 1995 ketika beliau menjadi mudir Maahad Tahfiz al-Quran yang pertama sekaligus pernah menjadi guru tasmik saya dan rakan-rakan yang lain.

Beliau antara yang terawal mengajar kaedah-kaedah menghafaz al-Quran, melatih kami mengulangkaji al-Quran beramai-ramai serta hubungan akrab seperti bapa dan anak kerana saya sering bermalam di rumahnya ketika itu.

Ust Hj Muchlish Ali Kasim yang saya kenali sejak tingkatan 1, bahkan beliau dan bapa saya berkawan sebelum saya lahir kerana mereka sama-sama bertugas di daerah Sipitang. Kini kami bersama-sama pula dalam Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah dan Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Sabah.

Beliau menjadi rujukan saya dalam banyak hal termasuk dalam soal-soal hukum hakam sehingga kini, dan hal peribadi termasuk nasihatnya ketika saya hendak mendirikan rumahtangga 8 tahun lalu.

Sheikh Nuruddin al-Banjari, meski hanya berguru beberapa ketika di Mesir dan pernah 2 kali datang ke Sabah dan saya pernah beberapa segmen mempengerusikan majlis ilmu kendalian beliau.

Namun, buku-buku yang saya turut menadah dalam program tafaqquh fiddin di Kaherah, serta CD kuliahnya yang sering saya ulangkaji kini menjadikan beliau sentiasa di hati saya. Begitu juga rakaman ceramah beliau di merata tempat sentiasa menjadi carian saya di internet.

Ustaz Dato’ Hj Ismail Kamus yang kita semua kenali, saya mula rapati ilmunya sejak pertengahan 90an, sejak zaman persekolahan, saya sering membeli kaset-kaset ceramahnya, kadang-kadang tidak puas didengar berkali-kali, saya salin di kertas lagi.

Pada akhir julai 2000, hampir 10 tahun lalu beliau datang ke Kota Kinabalu untuk program ceramah pelbagai tempat. Ketika itu beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Selangor sementara saya bertugas di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.

Saya ingat lagi, menyertai 6-7 siri ceramah beliau pelbagai tempat dalam masa sehari dua, saya perhatikan tajuk dan isu yang dibangkitkan semuanya berlainan. Di Papar, Kota Kinabalu, Kota Belud dan lain-lain.

Sungguh tidak saya menyangka ketika itu, puluhan (mungkin juga ratusan) kaset ceramah beliau yang saya simpan sejak 90an sehingga hari ini; mengutip ilmu berharga beliau sehingga kadang-kadang saya terbawa-bawa dalam ceramah dan kuliah saya sendiri.

Ketika kehadiran beliau pada julai 2000 itulah saya diminta menemankan ustaz bermalam di sebuah rumah di Taman BDC Kolombong. Mana mungkin saya menyangka pendakwah yang saya dengar suaranya saban hari kemudiannya saya temankan bersama.

Sebenarnya Allah SWT telah melembutkan hati saya suka dan kasih kepada para alim ulama’. Bukan sahaja orang-orang terkenal dan terkemuka seperti Dato Ismail ini, bahkan dengan rakan-rakan kami mencari, bertemu dan menyelongkar sejarah sedikit demi sedikit penglibatan dan pengalaman ustaz-ustazah dalam dunia dakwah di Sabah.

Sesungguhnya mereka menyimpan saham yang sangat bernilai untuk dibawa ke hadapan Allah SWT di dataran Mahsyar nanti.

Ketika Ustaz Dato’ Ismail berkempen untuk DUN Gombak Setia pada 1999, saya juga pernah melihatnya dari jauh. Katanya kepada pengundi dacing : “Biarlah hatimu UMNO tapi tanganmu PAS!”

Apabila bertemu Ustaz jumaat lalu, terubat kerinduan saya bertemu dengannya. Saya ceritakan kenangan tahun 2000 kepadanya, ketika itu saya masih bujang dan kini sudah mempunyai anak 5 orang.

Sebenarnya, saya kerap mendengar suara beliau dalam banyak kuliah dan ceramah melalui blog http://jeng3x.blogspot.com/. Pemilik blog ini adalah seorang pengikut beliau di merata ceramah khususnya sekitar Lembah Kelang. Tahun lalu telah menjemput saya masuk ke blog beliau dan sejak itu saya kerap melayari ceramah Ustaz Dato’ Ismail Kamus.

Mungkin tidak ramai tahu, bahawa sebelum ustaz datang ke Sabah tempohari, pada akhir april ustaz mengalami sedikit musibah. Ia diceritakan oleh blogger berkenaan. Beg ustaz yang disimpan dalam kereta dipecahkan orang. Duit beribu-ribu hilang dan pasport antarabangsa ustaz juga dicuri sama. Manakala kamera blogger berkenaan juga dicuri.

Ketika ceramahnya di Surau Austral tempohari, saya banyak memerhati gelagat dan kaedah dakwah beliau.

Suaranya sederhana – dengan volume begitu, beliau boleh bertahan lebih lama. Matanya sesekali ditumpukan kepada satu-satu audien, dan ia pasti memberi kenangan kepada audien yang dipandang.

Isi ceramahnya berkait dengan kemasyarakatan, kadang-kadang pedas mendengarnya tetapi oleh kerana diluah secara santai dan jenaka, orang mudah menerimanya.

Beliau banyak mengungkap hadith SAW dan qaul ulama’ dan hukama’, serta ungkapan falsafah yang menggeletek hati audien walaupun terasa disindir sebenarnya. Trademark beliau ialah : “Ni baru muqaddimah, belum start lagi”.

Hendak jadi macam Ustaz Dato Ismail Kamus saya tidak mampu, jadi di Masjid Kg Muhibbah Petagas setiap selasa malam rabu, saya menyampaikan kuliah maghrib menggunakan buku beliau – Indahnya Hidup Bersyariat terbitan Telaga Biru Sdn Bhd. Kata Ustaz Zahazan, buku itu adalah yang paling laris sekali di Telaga Biru.

Mudah-mudahan Allah SWT panjangkan umur beliau dan semua guru-guru yang pernah mendidik saya sejak kecil sehingga kini termasuk yang sudah meninggal dunia. Kepada audien Dato’ Ust Hj Ismail Kamus tempohari, jangan ingat yang lucu dan lawak beliau saja. Ambil sekali ilmu yang berharga.