Petang khamis, anak sulung kami Nuha menyampaikan satu khabar bahawa dia dipilih menyertai pertandingan hafazan surah-surah lazim peringkat SK Lok Kawi pada pagi Jumaat yang melibatkan peserta darjah 1-5. Nuha darjah 1 di sekolah berkenaan.

Tidak salah saya, di tahun 1, ada empat orang dipilih. Tiga ikut bahagian tilawah, dan Nuha sendirian wakil hafazan. Justeru, saya terus menyemak hafazannya malam itu juga.

Surah lazim mulai ad-Dhuha hingga an-Nas semuanya ada 22 surah, tidak termasuk al-Fatihah. Sehingga itu, Nuha sudah menghafaz 12 surah kesemuanya dengan tidak mengikut urutan surah. Tidak sangka juga, fasahahnya agak baik.

Saya tidak mahu memaksanya untuk menghafaz surah-surah baru malam itu juga kerana bimbang dia tertekan. Pada pendapat saya biarlah dia menghafaz mengikut kemampuannya dan bukan atas tekanan bertanding.

Tengahari selesai solat Jumaat, saya dihubungi isteri. Nuha dapat nombor dua. Surah yang disoal kepadanya ialah al-Fatihah, ad-Dhuha dan al-Insyirah. Saya tersengih sendirian. Ada dua perkara dalam kepala saya ketika itu.

Pertama, sebagai seorang bapa, saya bersyukur anak dapat menunjukkan potensi dirinya walau baru berumur 7 tahun. Khabarnya, nombor 1 murid darjah 3 dan nombor 3 pula murid tahun 5.

Keduanya, sebagai orang awam pula saya merasa sedikit pelik kerana murid yang lebih senior tidak menonjol daripadanya. Satu segi, ia menunjukkan sesuatu yang negatif sebenarnya untuk masyarakat keseluruhan.

Apapun, melihat kemampuan anakanda sulung kami ini, saya cuba merancang sesuatu agar program hafazannya berterusan secara sistematik menurut kaedah saya sendiri, dengan bantuan isteri dan guru-gurunya di sekolah.

Sasaran pertama, juzu 30 cuba diselesaikan pada tahun ini. Insya Allah.

Jadi terima kasih kepada gurunya di SK Kem Lok Kawi khususnya Ust Rizuan yang melihat dan mencungkil bakatnya. Ini satu permulaan yang baik di peringkat sekolah rendah buat dirinya.

Nuha dengan seronoknya sanggup menunggu saya pulang kerja lewat petang untuk melihat kek, piala dan hadiah yang diperolehinya dan makan bersama-sama.