Alhamdulillah, sebagaimana diatur oleh penganjur lebih seminggu lalu saya dapat mengisi program ceramah bulanan di Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sabah yang  beribu pejabat di Aras 4 Blok A, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan (KPKP) pagi tadi.

Rasanya, tidak banyak undangan tazkirah atau ceramah di kompleks ini. Beberapa tahun lalu, saya pernah mengisi slot untuk guru-guru takmir JAKIM di sebuah bilik mesyuarat. Ketika itu Pengarah JAKIM Sabah masih lagi Ust Abd Aziz Che Yakob, dan beliau sendiri turut hadir bersama-sama.

Di bilik mesyuarat JAS, kira-kira hampir 30 orang staf mereka hadir diketuai oleh Pengarah mereka, Tuan Hj Abd Razak Abd Manap. Katanya orang Perak dan sudah bertugas di sini 4 tahun.

Menurut Sdr Ahmad Nasrun yang menghubungi saya dan sekaligus menjadi pengacara majlis, program ceramah  diadakan setiap jumaat minggu pertama setiap bulan sejak Ramadhan lalu.

Alhamdulillah daripada maklumat yang saya perolehi, jumaat diistihar sebagai hari ilmu, di mana mereka mengadakan bacaan yasin, doa selamat dan tazkirah ringkas setiap minggu yang diisi oleh pegawai dalaman manakala ceramah bulanan oleh penceramah undangan.

Hari ini saya bercerita tentang tasawwur ad-Din dengan gambaran yang lebih luas dan menyeluruh. Tiga Rukun Agama menjadi sasaran – Islam-Iman-Ihsan. Pokoknya ialah ayat al-Quran daripada surah al-Baqarah ayat 208 :

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata”.

Sebenarnya, saya sempat menyiapkan tayangan powerpoint sehingga jam 2.30 pagi. Cuma yang sempat dibahas secara ringkas ialah rukun Islam. Mudah-mudahan pengisian ringkas ini menjadi kebaikan untuk diri saya dan semua yang hadir. Moga ada kesempatan untuk mengisi program berikutnya di sini.

Saya gembira sekali. Terima kasih untuk tuan pengarah dan semua warga JAS Negeri Sabah.