Archive for 6 Mei 2010


Salah satu keberkatan di dalam sebuah rumah sebagaimana diajar oleh agama ini ialah dengan selalu tilawah ayat suci al-Quran al-Karim di dalamnya.

Tidak hanya untuk anak-anak kami, di rumah ini sejak 2005 diadakan kelas-kelas al-Quran untuk anak-anak jiran. Ia kendalian isteri saya pada setiap hari selepas solat maghrib sehingga jam 8 malam.

Bahkan saya dimaklumkan bahawa kelas itu sudahpun dimulakan lebih awal pada akhir 90an dengan bimbingan abang-abang isteri saya ketika itu secara bergilir-gilir.

Jumlah terkini, seramai 22 orang anak-anak kampung ini bahkan daripada kampung berdekatan datang menghantar anak-anak mereka yang berumur antara 5-12 tahun untuk mengaji sama ada iqra atau al-Quran bersama isteri saya.

Saya tidak dapat membantu kerana mengisi program kuliah maghrib di surau dan masjid mengikut jadual yang sudah disusun.

Firman Allah :

“Dan ia dudukkan kedua ibu bapanya (bersama-samanya) di atas kerusi kebesaran. Dan setelah itu mereka semuanya tunduk memberi hormat kepada Yusuf. Dan (pada saat itu) berkatalah Yusuf :

“Wahai ayahku! Inilah dia tafsiran mimpiku dahulu. Sesungguhnya Allah telah menjadikan mimpiku itu benar. Dan sesungguhnya Ia telah melimpahkan kebaikan kepadaku ketika Ia mengeluarkan daku dari penjara; dan Ia membawa kamu ke mari dari dosa sesudah Syaitan (dengan hasutannya) merosakkan perhubungan antaraku dengan saudara-saudaraku. Sesungguhnya Tuhanku lemah-lembut tadbirNya bagi apa yang dikehendakiNya; sesungguhnya Dia lah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.

“Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan daku sebahagian dari kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarku sebahagian dari ilmu tafsiran mimpi. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat; sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh”. (Surah Nabi Yusuf : 100-101)

Alhamdulillah, malam isnin lalu tamat jua kuliah tafsir surah Yusuf di Surau an-Nur Taman Limauan setelah berbulan-bulan bercerita tentangnya. Ia suatu kisah yang penuh dengan iktibar dan pengajaran sebagaimana disebutkan di dalamnya sebagai ‘ahsanul qasas’ – kisah yang terbaik – dipaparkan lewat al-Quran.

Segmen terakhir kisah di dalam surah ini menceritakan tentang babak pertemuan Nabi Yusuf AS dan seluruh ahli keluarganya seramai 70 orang sebagaimana yang dihuraikan oleh para mufassirin. Pertemuan itu sangat bersejarah setelah mereka berpisah selama 40 tahun.

Di dalam hidup ini, kita tidak mengetahui nasib dan rezeki masing-masing.

Siapa tahu, seorang anak kecil yang dahulunya pernah dibuang oleh abang-abangnya, kemudian diambil oleh serombongan musafir, dijual dengan harga yang murah kepada pembesar negara, kemudian sesudah dewasa digoda maruahnya oleh seorang ‘mak-datin’, difinah dan dihumban ke penjara bertahun-tahun.

Dengan takdir Allah, dia akhirnya keluar dan menjadi menteri dan setelah beberapa ketika diangkat menjadi pemerintah, duduk di singgahsana. Siapa sangka urutan takdir yang menimpa Nabi Yusuf sebegitu indah?

Dari penjara kemudian sebagai pembesar negara!

Demikianlah hidup ini. Hari ini kita boleh jadi dia hanya seorang biasa, yang tiada nama dan kedudukan. Tiada siapa peduli. Bahkan kadang-kadang dicemuh dan dihina orang.

Esok lusa, siapa tahu nasib dan rezekinya di sisi Allah SWT. Moralnya ialah, belajarlah menghormati orang lain dengan sepenuh hati dan usaha, walaupun ia hanya seorang anak kecil, atau hanya seorang tukang sapu di jalanan, walaupun hanya penghantar surat, walaupun hanya seorang peminta itu dan ini. 

***

Dengan berakhirnya surah ini, saya telah menamatkan kuliah saya di surau ini. Ia penuh dengan pengalaman dan kenangan berharga selama hampir 4 tahun. Saya mendapat nikmat persahabatan dan persaudaraan di sini.

Saya memilih untuk menghentikan kuliah di surau ini, setelah mendapati surau ini aktif dengan pelbagai kuliah, ceramah dan lain-lain. Dahulunya ketika surau ini mula beroperasi, tidak ramai guru agama sudi ke sini maka saya membantu sekadarnya atas pelawaan pengerusi Surau, Sdr Ribbang Hj Ampong.

Pelawaan itu saya terima dengan senang hati dan terbuka, kerana dalam tempoh itu saya masih baru dalam dunia kuliah di surau dan masjid. Peluang itu saya ambil untuk belajar berkuliah dan berhadapan dengan masyarakat.

Kini surau ini sudah ramai ustaz. Kuliah maghrib berlangsung hampir setiap malam. Penceramah undangan hadir hampir setiap bulan. Kiranya, dengan keadaan itu saya boleh meninggalkan surau ini dengan senang hati juga.

Misi saya seterusnya ialah meneroka surau atau masjid yang masih perlahan dengan program kuliah sebegini. Setakat ini beberapa masjid sudah ‘meminang’ saya untuk ke tempat mereka. Insya Allah saya akan meneruskan misi dakwah ini dengan sedikit pengalaman dan kenangan di Surau an-Nur

Kepada Pengerusi Surau an-Nur, Sdr Ribbang Hj Ampong; semua AJKnya serta jamaah keseluruhannya baik lelaki atau perempuan, adik-adik remaja dan kanak-kanak kecil yang sering menghiasi dan memeriahkan suasana surau, terima kasih atas semua kebaikan kalian.

Hanya Allah SWT yang mampu membalasnya. Halalkan sedikit perkongsian ilmu yang saya sampaikan. Ambillah ilmu yang baik kerana itu semua daripada Allah SWT; maafkanlah kesalahan, kesilapan dan kekasaran yang berlaku dalam tempoh itu. Terlalu banyak rasanya.

Malam terakhir di surau ini, jamaahnya lebih ramai daripada biasa. Khabarnya, sedikit gotong royong diadakan sejak pagi. Ada jamuan khas disediakan oleh kaum ibu. Saya sangat menghargainya.

Insya Allah, persaudaraan dan persahabatan itu tidak akan berakhir dengan berakhirnya kuliah ini. Saya doakan agar surau ini terus meriah dengan aktiviti yang diridhai oleh Allah SWT. Allahumma, amin!