Melalui acara-acara santai dan ringkas buat anak-anak dan juga kepada ibu bapa, jelas ada beberapa perkara yang boleh menjadi iktibar.

Ada beberapa anak-anak kecil ini yang begitu berbakat dalam mewarna lukisan yang diberi sehingga anak-anak saya bercerita tentangnya. Begitu juga ulah sebahagian anak-anak yang pemalu dan tidak begitu kelihatan aksinya.

Meskipun kebanyakan mereka masih tidak mengetahui nama antara satu sama lain, tetapi keseronokan itu sudah mula berputik, apabila mereka duduk makan, mandi di kolam dan main bersama. Sudah ada yang bertanya, bila lagi hendak jumpa.

Ibu-ibu saya kira mereka boleh bergaul dan bersahabat dengan baik sekali selepas ini walaupun sebahagian mereka bertemu buat kali pertama. Kalau tidak salah saya, untuk pertemuan kali ini 4 bayi bersama-sama dan beberapa anak kecil yang berumur antara 1-4 tahun.

Sebagai langkah awal, nama-nama anak sedang dikumpul dan akan diedar untuk maklumat semua ahli usrah. Ya, mula-mula saling mengenali, baru saling memahami, kemudian saling bekerjasama.

Untuk para bapa, permainan bola sepak untuk hanya 15-20 minit pada petang sabtu cukup seronok tetapi meletihkan. Seronok mengejar bola, tetapi sebaik bola terlepas daripada jangkauan kaki, letihnya bukan main.

Nampaknya ada resolusi untuk aktiviti sukan lebih kerap buat para bapa, pertemuan santai tapi bermakna untuk ibu-ibu dan program berlanjutan buat anak-anak. Mimpian Jadi hanya sekadar muqaddimahnya.