Perjalanan pulang ke rumah menjadi perlahan di sekitar Kg Dumpil Putatan apabila satu kemalangan berlaku kira-kira jam 2.20 petang.

Sebuah kereta unser terjunam ke dalam laut setelah pemandunya gagal mengawal kenderaan yang dipandunya. Pemandunya seorang perempuan berumur 27 tahun berasal dari Kg Takapan Membakut dan menetap di Taman Pantai Lok Kawi, Kinarut.

Dalam kenderaan yang disertai oleh bapa mertuanya, perempuan berkenaan memandu dari arah Papar menuju ke Putatan sebelum membelok di satu simpang dan berpatah balik ke arah Papar untuk pulang ke rumah.

Bagaimanapun, beliau gagal mengawal kenderaannya apabila kereta berkenaan melanggar pula pembahagi jalan lalu bergerak laju ke arah laut.

Ketika kemalangan berlaku, orang ramai yang lalu di tempat kejadian segera menghulurkan bantuan dengan turun ke laut menyelamatkan kedua-dua mangsa di dalam kenderaan.

Ketika kami sekeluarga berhenti seketika di tepi jalan, perempuan berkenaan sudah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan. Tiada kecederaan serius dilaporkan berlaku.