Bagi pencinta ilmu, kesempatan hadir dalam mana-mana kuliah agama begitu ditunggu dan dinanti-nanti. Sikap demikian saya perhatikan berlaku dalam program kuliah bimbingan agama yang dianjur oleh Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah.

Budaya menuntut ilmu jelas kelihatan apabila hampir kesemua mereka membawa buku yang disarankan sama ada subjek tasauf, fekah, tauhid atau tajwid yang menjadi bualan peminatnya ketika ini.

Bagi kuliah tasauf, fekah dan tauhid yang diadakan 8.30 malam isnin, selasa dan rabu, pelajarnya siap menanti ustaz masuk dan memulakan kelas, sementara di penghujungnya ada sesi soal jawab dan kemudian beratur untuk bersalam-salaman sambil mengalunkan solawat badriyyah.

Catatan bagi menceritakan situasi seperti ini boleh jadi tidak begitu asing di sesetengah negeri di Semenanjung atau di Timur Tengah di mana kuliah-kuliah tafaqquh fiddin berjalan begitu rancak. Namun bagi saya di Sabah, ia seperti baru bermula.

Sebenarnya kuliah-kuliah maghrib dan subuh semakin bersemai di masjid dan surau di negeri ini. Namun, berdasarkan pengalaman saya yang sedikit ini, budaya suka bersandar ke dinding, ‘berceramah’ sesama sendiri dan suka menganga dan mendengar semata tanpa sebarang catatan ini begitu sebati.

Saya mengimpikan kuliah ini satu hari nanti melimpah melewati bilik kuliah ini dengan kehadiran ratusan orang dan kemudiannya menjadi budaya menuntut ilmu dengan penuh adab dan keberkatan.

Kuliah fekah lepas, Ust Hj Muchlish menceritakan tentang adab-adab hari Jumaat. Ustaz bercerita panjang tentang fadhilat surah al-Kahfi berdasarkan hadith nabawi dan pengalaman hidup beliau yang begitu menarik sekali.

Jemput hadir ke kelas bimbingan ini. Isnin (Tasauf), selasa (Fekah), rabu (Tauhid) dan sabtu (Tajwid). Masanya jam 8.30-9.30 malam, kecuali kelas tajwid pada jam 6.00 – 8.00 pagi sabtu. Percuma! Dapat ilmu dan pahala.

Kalau saudara belum pernah datang, cuba sekali dahulu. Kalau kedatangan itu dipimpin dengan niat yang ikhlas untuk menuntut ilmu, insya Allah saudara akan merasa nikmatnya.

Allahumma Ya Allah, fahamkan kami tentang agama, dan ajarkanlah kami tentang ilmu ta’wil. Allahumma amin!