Archive for 27 April 2010


ORANG ITU MARAH-MARAH

Artikel ini saya baca lewat blog sahabat juga seorang wartawan masyarakat Sdr Abd Naddin daripada Utusan Borneo. Saya sering melayari blog beliau, sebagaimana beliau juga melayari blog saya (menurut katanya).

Perkara yang membuatkan saya gemar membaca catatan beliau adalah kerana kebanyakan isinya berkait dengan catatan perjalanan beliau khususnya sebagai seorang wartawan, ahli bahasa dan sastera. Beliau bertemu dengan pelbagai ragam orang, orang politik, orang kampung, orang bandar, orang seni dan bermacam-macam jenis orang.

Demikianlah meski jarang bertemu muka, tetapi dengan sering membaca catatan beliau menjadikan seolah kami rapat seperti bertemu setiap hari. Apabila kami bertemu, memang terasa akrab meski bilangan pertemuan itu rasanya boleh dibilang dengan jari.

Tersengih sendirian apabila saya membaca catatan beliau baru-baru ini :

Orang itu marah-marah kepada Ketua Menteri.

Katanya, Ketua Menteri tidak mahu menemuinya walaupun dia sudah ke pejabat. “Tidak patut Ketua Menteri tidak mahu jumpa saya padahal saya telah berjasa turut membawa UMNO masuk ke negeri ini”.

Dia perlihatkan surat-suratnya yang menyatakan bahawa dia salah seorang yang telah berjasa membawa UMNO masuk ke Sabah.

“Saya kecewa Ketua Menteri tidak mahu jumpa saya,” katanya.

Saya bertanya apa perlunya beliau berjumpa Ketua Menteri?

“Saya mahu hantar surat permohonan kepada CM tetapi tidak dilayan,” dia memberitahu.

“Mana suratnya…mari saya tengok,” kata saya.

Diapun mengeluarkan surat yang dimaksudkan itu.

Ada tiga perkara yang dipohonnya untuk dipertimbangkan oleh Ketua Menteri.

Setelah membaca surat itu, saya berasa ingin marah juga. Saya mahu marah kepada orang yang telah mendraf surat dan memberi nasihat yang salah kepada orang tua itu.

“Siapa yang menulis surat ini, pakcik?” saya bertanya.

“Saya sendiri tulis,” katanya dengan yakin.

“oh!”

“Apa pendapatmu, ngamkah surat pakcik itu?”

“Kenapa CM tidak mahu kasi? Tidak mahu kasi lulus permohonan saya?” Apa salahnya surat itu?” tanyanya.

Saya mahu mengatakan bahawa surat itu tidak sepatutnya ditulis begitu tetapi memikirkan dia orang tua, saya tidak mahu menyinggung perasaannya.

Kalau saya katakan surat itu betul, saya merasa saya pula tidak betul dalam memberikan nasihat kepadanya.

Dia mengaku seorang ketua cawangan Umno di sebuah daerah di Pantai Timur Sabah. Berdasarkan surat-suratnya, belaiu memang pernah terlibat dalam usaha menubuhkan cawangan-cawangan UMNO pada awal pertumbuhannya di Sabah pada 1991 dahulu.

“Saya kecewa kerana CM tidak mahu jumpa,” katanya lagi. Saya membaca suratnya dengan teliti.

Perkara pertama yang dimintanya ialah menjadi anggota kanan kabinet negeri! Bagaimana dia boleh menjadi anggota kanan kabinet sedangkan dia bukan wakil rakyat atau YB yang dilantik?

Saya memandangnya, cuba membaca air mukanya. Beliau seorang yang waras, saya kira tetapi kenapa dia terfikir begitu?

Perkara kedua yang dimintanya ialah menjadi TYT. Apa kelayakan menjadi TYT? Saya cuba memperhalusi kewajarannya.

Perkara ketiga yang dimintanya, membuat saya berfikir masih wujudkah lagi jawatan itu. Katanya, dia mahu menulis juga kepada Datuk Seri Najib untuk memohon jawatan itu.

Orang tua itu memohon untuk jawatan `pengintip rahsia’.

Saya fikir kalau orang tua ini minta diberikan projek, akan lebih mudah barangkali ia dipertimbangkan oleh Ketua Menteri.

Tapi beliau meminta jawatan pengintip rahsia.

Dia memohon mahu menjadi sepai? Saya teringat James Bond yang popular dengan filem 007nya yang berkisah mengenai spy.

Orang dahulu menyamakan pengintip sebagai talibarut. Jawatan pengintip rahsia? Berapa gajinya ya?

 

Beritanya hangat. Sehangat hati mereka yang menjadi mangsa. Perobohan rumah manusia seagama  begitu menyayat hati. Mangsanya orang Islam. Yang tukang roboh juga orang Islam.

Saya kurang maklum, di mana mereka meletakkan hadith Nabi bahawa umat Islam itu bersaudara. Seperti satu badan yang turut merasa sakit anggota yang lain, seperti sebuah bangunan yang saling melengkapi.

Khabarnya, ada manusia-manusia rakus dibalik tragedi menyedihkan ini. Pekerja DBKK dan RELA hanya sebagai alat sahaja. Ada pembesar yang berhati kecil menempah kawasan tanah untuk kepentingan sendiri. Mengaut keuntungan di atas penderitaan orang lain.

Perobohan rumah mereka bermula sejak 12 April lalu dan ia terhenti pagi jumaat setelah mahkamah menerima injuksi sementara terhadap DBKK. Hujung minggu lalu kebetulan ada urusan di kawasan berdekatan, saya singgah dan mendengar cerita-cerita duka mereka.

Saya cadang, yang simpati berkunjunglah ke sana walau seketika. Berikan mereka khabar gembira bahawa Allah SWT bersama orang yang sabar.

Akhbar Daily Ekspress hari ini, selasa 27 April 2010 :

49 penduduk dapat injuksi sementara terhadap DBKK

Jo Ann Mool

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini membenarkan injuksi sementara untuk 49 penduduk kampung Bakau di Likas untuk menghalang Dewan Bandaraya Kota Kinabalu daripada memasuki, mengusir dan merobohkan rumah mereka serta struktur bangunan di kampung tersebut.

Pesuruhjaya Kehakiman Dato’ Abdul Rahman Sebli mengeluarkan perintah itu di kamarnya selepas mendengar saman ex-parte oleh plaintif, diketuai Dimulu @ Nasir Ahid dan 48 penduduk lain.

Penduduk kampung itu melalui peguan Erveana Ansari memfailkan permohonan mereka dan menamakan Datuk Bandar Kota Kinabalu sebagai defendan tunggal mengikut Perintah 29, Peraturan 1 (2) dan Perintah 92 Peraturan 4, Peraturan Mahkamah Tinggi 1980.

Para penduduk kampung itu, dalam afidavit sokongan mereka, mendakwa mereka terdiri daripada pelbagai suku kaum asal dan memiliki sebidang tanah di bawah Geran Tanah Natif No 011243330 dikenali sebagai Kampung Bakau, Likas.

Mereka mendakwa telah tinggal secara kekal atas tanah tersebut sebelum ia dipindahmilik kepada defendan oleh pihak berkuasa Negeri.

Plaintif itu juga mendakwa, Kerajaan dan DBKK telah mengiktiraf dan meluluskan hak adat penduduk apabila mereka meluluskan antara lain bangunan sekolah, lot parkir, rumah ibadat, pengubahsuaian serta menyediakan kemudahan telefon dan elektrik.

Mereka mendakwa, rumah-rumah mereka sedang dirobohkan tanpa perintah mahkamah sewajarnya dan tanpa defendan memastikan sempadan tanahnya dengan tanah Negeri, merobihkan struktur dan kemudahan tanpa garis panduan sempadan yang sempurna.

Plaintif mendakwa mereka telah dimaklumkan Jabatan Tanah dan Ukur pada 2008, bahawa jabatan itu tidak ada diberitahu oleh defendan yang defendan akan merobihkan rumah atas tanah Kerajaan sekitar tanah tersebut.

Mereka mendakwa, defendan telah memusnahkan 70 peratus daripada rumah di situ tanpa mendapatkan perintah mahkamah terlebih dahulu dan akan merobohkan rumah-rumah selebihnya.

Plantif berkata, perlakuan berterusan defendan dan atau ejennya merobohkan struktur dan rumah atas tanah itu adalah menyalahi undang-undang dan bertentangan dengan peraturan ‘keadilan asasi’ dan menggesa mahkamah memberikan injuksi kepada plaintif terhadap defendan.

Mengangkut barangan yang berbaki..

%d bloggers like this: