Dua peserta Sabah, Nazran (kiri- wakil 1-10 juzu’) dan Khairul Razikin (kanan sekali – ketiga kategori 1-20 juzu’) bergambar kenangan bersama Ust Hj Khairul Anwar Mohammad yang juga hakim munabbih.

Ahmad Mujahid johan Pertandingan Menghafaz al-Quran Kebangsaan

MELAKA 25 April – Peserta Wilayah Persekutuan, Ahmad Mujahid Salleh Sani muncul johan Pertandingan Menghafaz al-Quran Ke-31 Peringkat Kebangsaan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini yang berakhir hari ini.

Peserta kategori lelaki bagi juzuk 1-30 itu memperoleh markah 97.88 peratus yang membolehkan beliau membawa pulang hadiah berupa pakej menunaikan haji, wang tunai RM10,000, piala iringan dan sijil penyertaan yang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob.

Tempat kedua kategori lelaki juzuk 1-30 dirangkul peserta Kelantan, Muhammad Hariz Syazwan Mohd. Ariffin dengan markah 97.85 peratus, manakala tempat ketiga dimenangi Mohd. Labib Mohamad Anuar dengan markah 94.93 peratus.

Bagi kategori wanita juzuk 1-30, Siti Nadhira Mohd. Shafie dari Selangor muncul sebagai johan dengan kutipan markah 97.33 peratus dan beliau juga menang anugerah Peserta Wanita Terbaik.

Tempat kedua disandang oleh Mazian Abu Bakar dari Wilayah Persekutuan dengan markah 94.83 peratus dan tempat ketiga dimenangi oleh Siti Farhana Zainudin dari Melaka dengan markah 86.75 peratus.

Kategori lelaki juzuk 1-20 pula dimenangi oleh Mohd. Iqram Niyaz Ahmad (Kelantan), tempat kedua Mohamad Fida’iy Zainal Abidin (Kedah) dan tempat ketiga Muhamad Khairul Razikin Abdul Razak (Sabah).

Pemenang wanita bagi kategori yang sama disandang peserta dari Selangor, Farah Nabilah Amindin diikuti peserta dari Johor, Khairunnisah Zaini dan peserta dari Melaka, Nur Amalina Azharuddin di tempat ketiga.

Pemenang tempat pertama kategori itu menerima hadiah wang tunai RM6,000, piala iringan dan sijil selain memenangi pakej menunaikan umrah.

Peserta Terengganu, Ahmad Tirmizi Ali muncul johan kategori lelaki bagi juzuk 1-10 dan beliau juga diumum sebagai Peserta Lelaki Terbaik pertandingan manakala tempat kedua disandang peserta tuan rumah, Muhammad Haikal Mohd. Aris dan tempat ketiga, Muhammad Naazir Sheikh Alaudeen dari Selangor.

Pemenang kategori wanita bagi juzuk 1-10 disandang peserta Wilayah Persekutuan, Farihah Zulkifli diikuti Siti Hajar Nabilah Mohd. Darha dari Selangor di tempat kedua dan tempat ketiga, Zainab Sapiuddin dari Sabah.

Ahmad Tirmizi dan Farihah membawa pulang wang tunai RM4,000, piala iringan dan sijil penyertaan.

Sebanyak 40 peserta lelaki dan 33 peserta wanita menyertai pertandingan yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Tahap Pertama (juzuk satu hingga 10), Tahap Kedua (juzuk satu hingga 20) dan Tahap Ketiga (juzuk satu hingga 30).

***

Ulasan saya

Alhamdulillah, kebangkitan sudah bermula.

Dalam rekod, (Datuk) Hj Asmali Bachi pernah mendapat tempat ketiga dalam majlis yang sama pada tahun 80an. Cuma saya kurang maklum kategori yang disertainya ketika itu. Beliaulah satu-satunya peserta Sabah dalam majlis menghafaz yang mendapat tempat yang baik.

Setelah hampir 30 tahun, barulah kini ada pelapis yang baru dan meningkat naik.  Khairul Razikin berasal dari Papar adalah pelajar Darul Quran.

Namun secara peribadi saya dan beberapa rakan masih ada sedikit kecewa kerana tiada peserta Sabah dari Maahad Tahfiz al-Quran Negeri yang menyertai majlis menghafaz ini sejak peringkat negeri lagi.

Mudah-mudahan kejayaan Md Khairul dan Zainab ini membuka mata semua pihak (khususnya maahad dan JHEAINS)agar kita mengambil berat hal majlis menghafaz baik di peringkat negeri dan seterusnya kebangsaan yang selama ini boleh dikatakan kurang diambil perhatian.

KEPUTUSAN PENUH

Kategori 1-10 Juz (Lelaki)

1- Ahmad Tirmizi bin Haji Ali (Terengganu) : 99.19%

2- Muhammad Haikal bin Mohd Haris (Melaka) : 97.58%

3- Muhammad Naazir bin Sheik Alaudeen (Selangor) : 96.42%

Kategori 1-10 Juz (Perempuan)

1- Farihah binti Zulkifli (Wilayah Persekutuan) : 96.04%

2- Siti Hajar Nabilah binti Mohd Darha (Selangor) : 95.22%

3- Zainab binti Sapiuddin (Sabah) : 94.80%

Kategori 1-20 Juz (Lelaki)

1- Mohamad Iqram bin Niyaz Ahmad (Kelantan) : 97.80%

2- Mohd Fida’iy bin Zainal Abidin (Kedah) : 95.70%

3- Muhamad Khairul Razikin bin Abdul Razak (Sabah) : 95.08%

Kategori 1-20 Juz (Perempuan)

1- Farah Nabilah binti Aminudin (Selangor) : 95.75%

2- Khairunnisa binti Zaini (Johor) : 94.63%

3- Nur Amalina binti Azharuddin (Melaka) : 91.80%

Kategori 1-30 Juz (Lelaki)

1- Ahmad Mujahid bin Salleh Sani (Wilayah Persekutuan) : 97.88%

2- Muhammad Hariz Syazwan bin Mohd Arifin (Kelantan) : 97.85%

3- Muhammad Labib bin Mohamad Anuar (Selangor) : 94.93%

Kategori 1-30 Juz (Perempuan)

1- Siti Nadhira binti Mohd Shafie (Selangor) : 97.33%

2- Mazian binti Abu Bakar (Wilayah Persekutuan) : 94.83%

3- Siti Farhana binti Zainudin (Melaka) : 86.75%

***

HUFFAZ DIBERI PENGITIRAFAN

MELAKA 25 April – Kerajaan akan memberi pengiktirafan akademik kepada semua huffaz di negara ini tanpa mengira di mana mereka menyelesaikan syahadah tahfiz mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata satu mekanisme sedang disusun bagi membolehkan pengiktirafan itu dapat membantu huffaz sama ada bagi tujuan menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi atau bagi membina kerjaya mereka.

“InsyaAllah, strategi jangka pendek yang kita persetujui ialah menubuhkan Dewan Huffaz Kebangsaan yang akan direalisasikan dalam tahun ini juga,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada penutupan Majlis Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-31 di sini, malam ini.

Jamil Khir berkata para huffaz sebagai orang yang mendalami ilmu al-Quran dan amat dekat dengan ayat-ayatnya, wajar menjadi ejen pengubah masyarakat yang perlu dikembalikan kepada fitrah manusia sebenar.

“Kita tidak boleh lagi “berpeluk tubuh, bersilang kaki” dalam menyaksikan kemunduran akhlak yang menular dalam masyarakat.

“Persediaan dan persiapan dari sudut fizikal dan mental perlu diperkukuh pada setiap masa untuk melaksanakan kewajipan berdakwah yang diamanahkan ke atas bahu setiap umat Islam,” katanya.

Beliau berkata gabungan peranan golongan profesional dan intelek al-Quran sangat diperlukan bagi mencapai kejayaan yang seimbang dalam pembinaan ummah yang bertamadun. – BERNAMA

Gambar-gambar diambil dari Facebook Muhammad Khairul Razikin atas izin beliau. Terima kasih.