Sebenarnya selesai zuhur di Masjid Negeri, saya lalu saja di Surau Austral. Saya sudah berjanji menjemput anak yang keluar sekolahnya jam 1 tengahari di SK Kem Lok Kawi. Hari itu ada program Kem Solat.

Kereta saya perlahankan ketika lalu di Surau Austral, pelanggan gerai sudah mulai ramai. Terfikir mahu berhenti singgah, tapi sudah berjanji dengan anak. Kasihan kalau dia menunggu terlalu lama.

Jadi saya pulang duluan menjemput anak.

Hampir jam 3, saya datang semula bersama isteri yang kebetulan ada kelas tambahan untuk pelajar darjah 6 di Pusat Pendidikan Islam (PPI) an-Nur. Kebetulan pula saya belum sempat makan tengahari.

Buka dompet, usinnya hanya tinggal beberapa ringgit. “Mana cukup untuk makan tengahari”, kata saya kepada isteri. Hendak keluar mencari ATM, jauh pula. Isteri mengunjuk duit RM50.00. Saya tersenyum.

“Kenyang laa aku kali ni…”

Menu yang dijanjikan dalam iklan sudah hampir kehabisan. Baru jam 3 petang, jualan mereka laku kali ini. Pelanggan yang datang masih kelihatan. Kasihan juga yang datang dari Kinarut, Kolombong dan lain-lain melihat juadah sudah banyak yang habis. Penganjur terpaksa menempah dan memasak nasi yang sudah kehabisan.

“Janji sampai jam 5, pelanggan mesti marah sebab makanan kamu sudah habis”, gurau saya.

Semua senyum melihat saya lalu dengan kamera menyangkut di leher. Untuk tatapan peminat setia Abu Nuha Corner yang jauh di mata dan dekat di hati. Oh teringat Hj Omar di Bukit Mahkota, Kajang.

Orang yang paling sibuk sudah tentu Ust Zulhazmi yang empunya program. Begitu juga isteri dan para pembantu beliau yang tidak cukup tangan melayan pelanggan.

Program kali ini – gerai terbuka ikan bakar dan makanan semenanjung ini di bawah anjuran as-Solihin Management & Consultant milik Ust Zul. Memang di kalangan rakan-rakan, Ust Zul memang minat berniaga dan pandai cari duit.

Yang paling best sekali, dia suka bantu orang.

“Ustaz, ada orang pesan kat ana, kalau anta datang makan hari ini, tak payah ambil duit. Ada orang belanja, nanti dia bayarkan”, kata Ust Zul.

Alhamdulillah, semoga orang yang baik hati itu sekeluarga dimurahkan rezeki sehingga bila-bila.

Kadang-kadang saya perasan juga mungkin rezeki saya mengajar dan ceramah di mana-mana masjid, surau, pejabat dan lain-lain, selalu sangat dibelanja orang terutama yang pernah menjadi audien saya.

Di gelanggang masakan, saya nampak kelibat Cikgu Borhan melayan pelanggan. Saya baru tahu Cikgu Borhan yang murah dengan senyuman itu pandai memasak orangnya. Siaplah dia kali ini. Beliau bertugas di SK Pulau Gaya sementara isterinya seorang doktor perubatan di Hospital Queen Elizabeth.

Beliau baru bertugas awal tahun ini di Sabah. Orangnya peramah dan kaki surau juga. Nampaknya ramai selesa dengan kehadirannya.

Selesai asar di Surau Taman Austral, hujan turun dengan lebatnya. Sesuai juga ketentuan Allah hari ini. Jualan gerai habis tanpa menunggu jam 5 petang, hujan pun turun. Semua orang berkemas untuk balik ke rumah.

Terima kasih.