Betapa gembiranya di hati apabila diundang mengisi program di Asrama Putera SMA Toh Puan Hajjah Rahmah di Sembulan pada malam sabtu lalu.

Saya diperkenalkan sebagai alumni sekolah ini dan pernah tinggal di bilik 3 asrama berkenaan. Tersenyum juga saya mendengarnya. Terkenang kembali kenangan di bilik berkenaan pada hujung 1991-1995.

Terkenang abang Norali Ag Damit, Jurin Juharif, Asman Md Ali, Juhidin Jukilin, Shawal Moktar, Darwis Jati, Amir Arapa, Umarang Tjokke, Herwan Harun, Ridhuan Hussin dan ramai lagi yang pernah menjadi rakan sebilik.

Mengisi program di sekolah yang pernah membentuk diri saya khususnya dalam ilmu-ilmu agama ini sesuatu yang saya nanti sekian lama. Hendak meminta, terasa malu tetapi hendak sangat membantu sekolah sendiri.

Saya langsung menerima undangan Ust Hj Safri, salah seorang guru di sana yang juga rakan sekolah (junior) di sana. Program diadakan di surau yang dahulunya sebahagian daripada dewan makan. Surau lama yang penuh kenangan telah musnah dalam kebakaran tahun lalu. 

Pengisian berkaitan dengan solat berjamaah khususnya membimbing pelajar tingkatan 6 sebagai imam solat, apatah lagi mereka bakal berhadapan dengan masyarakat sesudah ini.

Ceramah sejam setengah yang dihadiri oleh semua pelajar asrama, turut menguji kesahihan bacaan surah al-Fatihah pelajar tingkatan 6. Alhamdulillah, untuk setakat itu bagi saya mereka semuanya lulus. Hanya sedikit kesalahan kecil sifat huruf yang boleh diperbaiki dan tidak menjejaskan sah solat.

Hanya masa yang terbatas, kami tidak dapat praktikal yang lebih panjang khususnya menyemakan pergerakan solat, bacaan wajib dan sunat serta wirid-wiridnya. Insya Allah, jika diundang lagi saya dengan tangan terbuka menerimanya, tambah lagi saya dimaklumkan tidak banyak pengisian harian (khusus maghrib-isyak) di surau asrama.

Sebenarnya ingin juga saya mengisi program di peringkat aspuri dan sekolah. Terima kasih Ust Hj Safri, Ust Hj Sahudin dan Cikgu Musali serta adik-adik yang memberi perhatian. Saya gembira sekali dapat membantu.