Archive for 24 April 2010


 

Betapa gembiranya di hati apabila diundang mengisi program di Asrama Putera SMA Toh Puan Hajjah Rahmah di Sembulan pada malam sabtu lalu.

Saya diperkenalkan sebagai alumni sekolah ini dan pernah tinggal di bilik 3 asrama berkenaan. Tersenyum juga saya mendengarnya. Terkenang kembali kenangan di bilik berkenaan pada hujung 1991-1995.

Terkenang abang Norali Ag Damit, Jurin Juharif, Asman Md Ali, Juhidin Jukilin, Shawal Moktar, Darwis Jati, Amir Arapa, Umarang Tjokke, Herwan Harun, Ridhuan Hussin dan ramai lagi yang pernah menjadi rakan sebilik.

Mengisi program di sekolah yang pernah membentuk diri saya khususnya dalam ilmu-ilmu agama ini sesuatu yang saya nanti sekian lama. Hendak meminta, terasa malu tetapi hendak sangat membantu sekolah sendiri.

Saya langsung menerima undangan Ust Hj Safri, salah seorang guru di sana yang juga rakan sekolah (junior) di sana. Program diadakan di surau yang dahulunya sebahagian daripada dewan makan. Surau lama yang penuh kenangan telah musnah dalam kebakaran tahun lalu. 

Pengisian berkaitan dengan solat berjamaah khususnya membimbing pelajar tingkatan 6 sebagai imam solat, apatah lagi mereka bakal berhadapan dengan masyarakat sesudah ini.

Ceramah sejam setengah yang dihadiri oleh semua pelajar asrama, turut menguji kesahihan bacaan surah al-Fatihah pelajar tingkatan 6. Alhamdulillah, untuk setakat itu bagi saya mereka semuanya lulus. Hanya sedikit kesalahan kecil sifat huruf yang boleh diperbaiki dan tidak menjejaskan sah solat.

Hanya masa yang terbatas, kami tidak dapat praktikal yang lebih panjang khususnya menyemakan pergerakan solat, bacaan wajib dan sunat serta wirid-wiridnya. Insya Allah, jika diundang lagi saya dengan tangan terbuka menerimanya, tambah lagi saya dimaklumkan tidak banyak pengisian harian (khusus maghrib-isyak) di surau asrama.

Sebenarnya ingin juga saya mengisi program di peringkat aspuri dan sekolah. Terima kasih Ust Hj Safri, Ust Hj Sahudin dan Cikgu Musali serta adik-adik yang memberi perhatian. Saya gembira sekali dapat membantu.

 

Pusat Pendidikan Islam (PPI) an-Nur adalah institusi pendidikan Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang diiktiraf oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS). Nombor pendaftaran dengan JHEAINS ialah (JHEAINS:200-2/12/68).

PPI an-Nur menawarkan kelas pengajian agama berasaskan kurikulum JHEAINS kepada pelajar sekolah rendah bermula tahun 1 sehingga tahun 6.

Antara mata pelajaran yang ditawarkan ialah al-Quran (tajwid, tilawah, hafazan), hadith, khat, bahasa Arab, sirah, akhlak, amali solat. Selain itu para pelajar juga dilatih membaca zikir ma’thurat setiap hari.

Sekolah mengadakan peperiksaan dua kali setahun dan juga ujian amali, hafazan dan bacaan.

Untuk pengetahuan ibu bapa yang berminat, kelayakan umur untuk ke PPI an-Nur ini ialah bermula umur 6 tahun sehingga 12 tahun dan kelas dibuka untuk tahun 1 hingga 6 sahaja, sementara pakaian diseragamkan sepertimana pelajar Sekolah Agama Negeri (SAN) dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) Negeri Sabah.

Yuran yang dikenakan ialah yuran tahunan RM30, bulanan sebanyak RM50, yuran ihtifal sebanyak RM15, yuran buku teks RM40 keatas.

PPI an-Nur telah pun beroperasi sejak 5 tahun yang lalu di bangunan sendiri bersebelahan dengan Surau Riyadhus Solihin Taman Austral, Jalan Pintas, Kepayan, Kota Kinabalu.

Kini terdapat 136 pelajar dan 7 orang tenaga pengajar dengan masa pembelajarannya ialah pada setiap isnin hingga jumaat antara jam 2.30 -5.00 petang.

Pada tahun lalu, buat pertama kalinya 6 pelajar sekolah ini menyertai peperiksaan Sijil Rendah Ugama (SRU) yang dikendalikan oleh JHEAINS. Keputusannya mereka mendapat peratus melebihi 80%.

Untuk keterangan lanjut, boleh berhubung dengan penama-penama berikut :

Ustaz Agus Latif – 0168812825, Mohd Rahimin Mustafa – 0138657985, Ustaz Zulhazmi Osman – 0124299897, Ustaz Idhar Jaafar – 0198711837.

%d bloggers like this: