Saya terlambat tiba ke Taman Sepanggar kerana kuliah maghrib dan solat isyak di Surau Riyadhus Solihin Taman Austral berakhir jam 8.30 malam.

Hadirin di rumah Sdr Nordin Sakke sedang berdiri mengalunkan bait-bait marhaban. Ramai sehingga melimpah keluar. Kebanyakannya penduduk taman ini khususnya jamaah Surau Taman Sepanggar dan rakan-rakan sekerja beliau dari UMS dan rakan-rakan isteri di SMK Tebobon.

Pemerhatian saya, ramai juga rakan-rakan ustaz yang hadir. Khabarnya sesi tahnik terlebih dahulu dilakukan oleh Ust Nik Anwar (SMKA KK) dan doa penutup oleh Ust Rafihi (Maktab Kent Tuaran) dan Ust Nahar.

Alhamdulillah Anis Bartisyia selamat dilahirkan pada 11.25 pagi jumaat 16 April lalu. Anak keempat Sdr Nordin dan isterinya Puan Mardiana. Aiman, Fatin dan Atiqah dapat adik lagi. Nampaknya Aiman masih belum dapat kawan untuk main bola sama-sama.

“Aiman tak kisah..”

Dari kami sekeluarga hanyalah sepotong doa agar anak ini menjadi anak yang solehah dan diberikan kefahaman dalam agama Islam. Tidak lupa sebungkus kurma ajwah dari Madinah sebagai hadiah.