Archive for 18 April 2010


KHUSYUK

Khusyuk Zahir

1) Khusyuk kepala dengan menundukkannya dan tetap menghadap ke arah tempat sujud, serta tidak memalingkan muka ke kiri, kanan atau ke atas;

2) Khusyuk mata dengan tidak melirik ke mana-mana, adakalanya sesuatu yang dipandang sangat mempengaruhi pemikiran kita;

3) Khusyuk telinga dengan sentiasa mendengar apa yang sedang dibaca sama ada dibaca sendiri atau dibaca imam;

4) Khusyuk lidah dengan membaca al-Quran atau zikir yang ditetapkan dengan cermat dan tidak gopoh yang boleh mengakibatkan tersalah daripada segi tajwid yang membawa perubahan makna;

5) Khusyuk anggota tangan dan kaki dengan memastikannya tidak bergerak-gerak, menggaru, atau melangkah.

Khusyuk Batin

1) Memastikan hati kita terlebih dahulu kosong dari mengingat selain Allah SWT. Inilah perkara yang paling utama bagi memastikan kekhusyukan di dalam solat;

2) Memahami setiap yang dilakukan sama ada perbuatan atau bacaan. Kefahaman yang jelas terhadap pergerakan atau bacaan yang sedang dilakukannya sedikit sebanyak akan lebih mendatangkan khusyuk solat seseorang;

3) Perasaan mengagungkan Allah SWT ketika melaksanakan solat. Perasaan itu timbul apabila adanya kefahaman;

4) Rasa pengharapan yang tinggi semoga amal yang dilakukan diterima oleh Allah SWT walaupun hakikatnya walaupun kita lakukan dengan sekuat tenaga dan usaha, ia tidak akan dapat mencapai tahap yang sepenuhnya;

5) Perasaan malu dan bimbang sekiranya amal yang serba kekurangan ini ditolak oleh Allah SWT. Wajar kita membayangkan sekiranya di akhirat kelak amalan kita rupanya tidak bernilai di sisi Allah SWT.

Dipetik daripada kertas kerja Tahsin Solat Siri 2 Masjid Negeri Sabah 18 April 2010.

“Berlindunglah kamu kepada Allah daripada berpura-pura khusyuk. Para sahabat bertanya, wahai Rasulullah! Apakah khusyuk yang berpura-pura itu? Baginda menjawab : Apabila hanya anggota zahirnya sahaja yang khusyuk, sedangkan hatinya berpura-pura (tidak khusyuk)”. (HR al-Hakim, at-Tirmizi dan al-Baihaqi)

Penganjur (Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah) menyatakan dalam iklannya kursus terbuka kepada 100 peserta. JK berbincang dan memutuskan untuk menyediakan 200 kertas kerja. Namun yang mengejutkan jumlah kehadiran yang direkodkan ialah seramai 320 orang kesemuanya.

Pada awalnya, kursus tahsin solat ini sebagaimana siri pertama diadakan di bilik kuliah aras bawah Masjid Negeri Sabah. Pada siri pertama 2 minggu lalu, kehadiran mencecah 180 orang dan bilik kuliah penuh sesak.

Jadi dengan kehadiran lebih 300 orang kali ini, penganjur terpaksa memindahkan lokasi kursus ke dewan solat utama, untuk menampung jumlah yang lebih ramai dan nyaman dengan penghawa dingin.

Hanya dengan keadaan peserta yang duduk bersila tanpa meja selama lebih 5 jam itu menyebabkan ramai kurang selesa. Sekejap bersila, sekejap bersimpuh, sekejap pula berlunjur.

Kedua, duduk tanpa meja dan kerusi menyebabkan peserta duduk bertebaran, sebahagian besar memang bersusun di hadapan, namun sebahagiannya selesa menyandar di belakang dan membentuk kumpulan-kumpulan kecil tersendiri.

Bagaimanapun sehingga ke akhir kursus menurut pemerhatian saya, hanya sedikit yang berundur pulang apatah lagi sesi soal jawab dan kuiz yang menarik perhatian itu berlanjutan selepas solat zuhur dan berakhir jam 2.30 petang.

Kasihan dengan ramainya peserta yang tidak mendapat kertas kerja memandangkan yang tersedia hanya 200. Alhamdulillah, Allah SWT telah menggerakkan saya malam tadi untuk membuat sedikit nota penting melalui powerpoint untuk dipaparkan buat peserta yang hadir.

Ternyata itu banyak membantu khusus bagi mereka yang tidak punya kertas kerja.

Siri 2 kali ini difokuskan tentang khusyuk dalam solat. Ust Hj Muchlish menerangkan tentang maksud khusyuk, pembahagian khusyuk zahir dan batin, keutamaannya, faktor yang membantu khusyuk seperti kesihatan, pemakaian, tempat dan cara menunaikan solat, masa dan suasana solat dan sebagainya.

Turut dijelaskan halangan-halangan khusyuk seperti gangguan iblis dan syaitan, lupa dan lalai dalam solat serta melakukan perkara-perkara makruh dalam solat.

Sesi soal jawab mengambil masa yang lama dengan kira-kira 30 soalan dikemukakan kepada Ustaz yang memimpin kursus ini dengan baik sekali. Meski soalan yang diberikan tidak tertumpu soal solat, namun Ustaz dapat menangani dengan cemerlang sekali.

Ada slot kuiz yang dibuat secara spontan, dan saya diminta menyediakan 6 soalan mudah untuk dijawab oleh peserta kursus di hujung kursus.

Kehadiran yang ramai dengan promosi yang sederhana sebenarnya menaikkan semangat kami untuk memperbaiki kursus ini pada siri berikutnya. Insya Allah kami merancang untuk mengedit semula kertas kerja ini sebelum dicetak dan diterbitkan dalam bentuk buku nanti. Doakan misi ini berjaya.

Tahniah buat semua peserta, juga JK yang bertungkus lumus.

Antaranya Ust Hj Muchlish sendiri selaku Pengerusi Syukbah Dakwah dan sekaligus pembimbing, sdr Ribbang Hj Ampong yang mempengerusikan kursus, Hj Pozi dan Chef Abdullah, Cikgu Zainal dan lain-lain yang mengatur pendaftaran dan masalah-masalah teknikal sehingga kursus berakhir dengan baik. 

Insya Allah bertemu lagi pada 2 Mei 2010 untuk siri ketiga nanti.

%d bloggers like this: