Saya sangat menghargai undangan tazkirah di Bahagian Khidmat Pengurusan dan Kewangan JHEAINS pagi tadi buat pertama kalinya. Tazkirah seawal 8.10 pagi di Bilik Mesyuarat Hidayah tingkat 10 bersama hampir 40 staf bahagian berkenaan berlangsung sekitar 30 minit.

Saya baru mengetahui bahawa bahagian ini mengadakan tazkirah mingguan mereka dan mereka mengundang tenaga ustaz ustazah JHEAINS untuk membuat pengisian bergilir-gilir.

Lewat petang, Ust Senan Jipar di Bahagian Dakwah membuat tawaran agar saya mengisi program tazkirah berkenaan dan saya langsung bersetuju.

Kesempatan sulung mesti dimanfaatkan dengan sebaiknya. Tazkirah saya mulakan dengan fadhilat basmalah, dan kemudiannya saya mencadangkan kepada mereka beberapa zikir pagi dan petang untuk dijadikan amalan harian.

Saya tinggalkan untuk mereka dengan risalah yang mengandungi zikir-zikir berkenaan, mudah-mudahan ada yang mahu beramal. Untung baik, saya dapat komisyennya.