Khutbah Ust Hj Muchlish Ali Kasim sentiasa saya nanti-nanti. Sejak rapat dengannya ketika kami berguru dengannya khusus di Maahad Tahfiz dahulu, kami sering bertanya tentang isu-isu yang bakal diutarakannya.

Teringat, jika jumaat itu beliau ada jadual selaku khatib, masa subjek kami yang terakhir pada jam 10.30 pagi yang beliau masuki akan dipenuhi dengan sinopsis khutbahnya nanti.

Jumaat hari ini, beliau mengenengahkan tentang keutamaan atau awlawiyyat dalam dakwah.

Dalam sirah Nabawi, 13 tahun pertama baginda diangkat sebagai Rasul di Makkah, tumpuan utamanya adalah masalah aqidah. Terbukti solat hanya difardhukan sebelum baginda hijrah, puasa, zakat dan haji difardhukan ketika umat Islam sudah berhijrah ke Madinah.

Ayat-ayat al-Quran yang diturunkan sebelum hijrah pun banyak ditumpu dalam soal aqidah.

Ayat berkait aqidah adalah seumpama kisah-kisah yang berlaku sebelum zaman Rasulullah (nabi-nabi, musuh-musuh Allah dan lain-lain), kisah hari kiamat, syurga neraka, persoalan rukun iman dan sebagainya.

Menurut ustaz, aqidah yang sohih akan menjaga akhlak manusia yang beriman. Lihat perintah Nabi SAW bahawa sesiapa yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat, hendaklah ia memuliakan tetamu, jiran serta berkata yang baik atau diam sahaja.

Aqidah yang betul juga membawa kepada ukhuwah dan kesatuan. Allah SWT menyatakan : “Sesungguhnya orang beriman itu adalah bersaudara..”

Jom sertai kuliah aqidah @ tauhid di Masjid Negeri Sabah. Rabu malam khamis, jam 8.30-9.30 malam di bilik kuliah MNS dengan bimbingan Ust Hj Muchlish Ali Kasim.