Saya menyaksikan dengan penuh syukur dan gembira dengan minat dan komitmen mereka yang hadir ke kelas bimbingan agama di Masjid Negeri Sabah sejak akhir-akhir ini.

Saya tidak dapat meluangkan masa untuk menyertai semua kuliah. Yang terdaya dan saya tumpukan adalah kuliah fiqah menggunakan kitab Fiqhul Manhaji bimbingan Ust Hj Muchlish Ali Kasim.

Kelas lain ialah Aqidah, Tasauf dan Tajwid al-Quran.

Namun, saban minggu kelas berlangsung, hampir setiap kali itulah ada saja muka baru yang tampil buat pertama kalinya. Mungkin ada di kalangan mereka yang baru tahu kewujudan kelas ini, dan mungkin saja ada yang baru tersedar dan kembali ke pangkal jalan.

Saya dapat tahu kerja keras yang dilakukan oleh sebilangan peserta kuliah ini sendiri yang mempromosi kelas ini kepada rakan dan kenalan masing-masing.

Pendekatan yang dilakukan ialah dengan cara memujuk dan cuba hadir sekali. Kalau berkenan dan sesuai di hati, istiqamahlah dengannya. Jika tidak, terpulanglah. Atau pilih satu di antara semua kuliah yang diadakan.

Ada kisah yang boleh dijadikan teladan.

Ada seorang daripada mereka yang hadir ini sering saya temui di Masjid Negeri khususnya untuk solat Jumaat sebelum aktif dalam kuliah fiqah.

Yang saya tahu, dia datang awal pada hari jumaat tetapi suka duduk nun di bawah, dekat dengan laluan ke pejabat imam besar. Di sana dia bersandar bersama rakan-rakannya sambil bersembang hatta ketika khutbah sedang disampaikan.

Alhamdulillah, kini tidak lagi.

Sekarang dia sering turun hadir untuk solat zuhur dan asar berjamaah di Masjid Negeri dan pada hari jumaat dia mula mencari saf yang lebih hadapan dan tidak lagi di bawah seperti sebelumnya.

Kuliah bimbingan agama di Masjid Negeri Sabah pun kini kerap dihadirinya.

Mudah-mudahan dia dan saya, juga saudara pembaca terus berubah dan berubah, berhijrah kepada yang lebih baik dan lebih baik, walau sedikit demi sedikit. Kemudian istiqamah dalam berbuat kebaikan.