Archive for 13 April 2010


Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya : “Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih ugama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam”.

(Demikianlah wasiat Nabi Yaakub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi)! Kamu tiada hadir ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika ia berkata kepada anak-anaknya : “Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?” Mereka menjawab : “Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu iaitu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman)”. [Surah al-Baqarah 132-133]

Bersama para sahabat-sahabat, kami berbincang panjang berkenaan ayat ini dalam konteks kehidupan kita hari ini.

Nabi Ibrahim dan Nabi Ya’qub AS telah menunjuk contoh yang baik kepada kita melalui ayat berkenaan dan juga ayat-ayat lain beserta huraiannya. Mereka telah berpesan dan berwasiat kepada anak cucunya (bahkan sebenarnya kepada kita juga) akan aqidah yang sebenarnya.

Sebelum kewafatannya, Nabi Ya’qub bertanya kepada anak-anaknya : “Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?”

Bahkan jawapan anak-anaknya juga membuktikan Nabi Ya’qub telah memberi didikan yang sebenar kepada mereka. Anak-anaknya menjawab : “Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu iaitu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman)”

Dalam konteks kita hari ini, kita dan generasi seterusnya (baca anak-anak dan cucu kita) menghadapi cabaran yang sangat besar. Ada musuh yang dapat dilihat dan ada musuh yang tidak dapat dilihat.

Boleh saja kawalan di rumah terhadap anak-anak sudah baik, misalnya kawalan menonton tv, internet dan lain-lain; namun siapa tahu apa yang mereka perolehi di luar. Sekolah, rakan sebaya, pusat membeli belah, padang permainan dan lain-lain.

Ada pandangan. Perlunya kita membentuk dan mencarikan rakan-rakan anak-anak ini daripada kalangan kita juga selain di sekolahnya. Jadi, perlu ada pertemuan sesama anak-anak sahabat menurut peringkat umur, anak-anak kecil, kanak-kanak, remaja dan seterusnya.

Kemudian, berikan mereka pengisian yang bersesuaian menurut agama, umur dan pemikiran mereka.

Jadi, kami memutuskan untuk berkumpul pada 1 dan 2 Mei di sebuah pusat peranginan. 20 buah bilik penginapan sudah ditempah. Semua membawa ahli keluarga masing-masing. Ada sahabat yang dipertanggungjawabkan untuk mengatur pengisian buat para isteri dan anak-anak.

Seingatnya, kami pernah berkumpul beberapa tahun lalu di Tuaran. Insya Allah, kali ini sekali lagi.

Sebaik tiba di Tawau sabtu lepas saya sudah memaklumkan kehadiran saya kepada beberapa sahabat di sana. Saya tawarkan diri untuk mengisi slot tazkirah di mana-mana masjid di Tawau pada ahad malam isnin.

Sekitar 5.45 petang ahad barulah saya dimaklumkan lokasi masjid dan sahabat yang akan menjemput saya di penginapan menuju ke masjid yang ditetapkan. Masjid Nurul Huda Kg Seri Menanti, Tanjung Batu Darat.

Alhamdulillah, kehadiran sekitar 70-80 orang jamaah walaupun khabarnya notis singkat sebelum maghrib. Jadi, menurut pendapat saya mereka memang mengimarahkan masjid berkenaan dengan solat berjamaah dan kuliah-kuliah.

Tazkirah dan pertemuan singkat saya isikan dengan huraian ringkas berkenaan rukun Islam – khususnya berkenaan tiang agama ini.

Terima kasih JK Masjid yang sudi mengundang.

%d bloggers like this: