Sekitar 30 minit di pelayaran, kami tiba di lokasi. Alhamdulillah, pihak tuan rumah menyambut kami dengan mesra dan hidangan petang yang menyelerakan.
Pemandangan sepanjang perjalanan begitu indah dan mempersona. Jelas kehebatan Allah SWT menjadikan semua makhluknya dengan tidak sia-sia.
Selesai sembang panjang di pondok yang disediakan, kami kemudiannya berehat di penginapan yang disediakan. Sebahagian kami terus sahaja mengisi ruang dengan berjalan dan meninjau di kawasan perkampungan.
Ada 22 buah rumah kesemuanya.
Kami bersembang dengan Makcik Murni Abd Kadir berbangsa bugis + banjar yang berstatus ibu tunggal. Kami bercerita sedikit sebanyak tentang pengalaman menjaga seorang anak istimewa bernama Muhammad Mukhtar yang kini berumur 30 tahun.
Tidak tahu bercakap, malahan hanya tersenyum memanjang. Mukhtar hanya duduk di rumah, sesekali dipimpin keluar berjalan di hadapan rumah bersama keluarganya.
Tidak dapat meninjau lama sehingga ke hujung titi, kami terpaksa kembali ke penginapan ketika azan maghrib sudah dilaungkan.
Ust Hilham mengambil tempat memimpin solat maghrib dan tazkirah selepasnya. Saya tertarik dengan tazkirah surah al-Asr, dengan tumpuan kepada sifat sabar menjadi fokus tazkirahnya.
Beliau menyebut tentang sabar menerima ujian fitnah yang menimpa orang dahulu kala dan sehingga akhir zaman. Bersabarlah, kata Ust Hilham kerana orang yang sabar itu adalah penghuni syurga.
Teluk menunggu ini asalnya di kenali Pantai Manis ( Melanta Tutup ) nama yg terdaftar di Pejabat Daerah Semporna dan Jabatan Tanah Daerah Semporna. Seorang hamba Allah telah mewakafkan kawasan tanah bahagian tepi laut ini untuk perkampungan anak-anak yatim dan aktiviti agama Islam kepada Kerabat Raja Sakti Kedah ( Sg Patani ). Pada 24 Januari 2008, Petang Jumaat, Hamba Allah itu telah pulang kerahmatullah. Allahyarham sempat mewasiatkan agar kawasan ini dijaga baik-baik. Walaubagaimanapun kawasan ini masih dipantau dari semasa kesemasa oleh anak beliau sehingga ke hari ini dan setakat ini tiada aktivit bercanggah dengan ajaran Islam dan Sunah Nabi seperti didakwa pihak luar. Perkataan SAKTI itu hanya sekadar istilah daripada asal usul keturunan pemerintah zaman dahulu keturunannya…dan tiada unsur-unsur khurafat atau sebarang kesaktian atau kebolehan luar biasa.
Rasulullah S.A.W, pernah bersabda :-
” Jika manusia meninggal dunia maka terputuslah amalannya kecuali 3 perkara, iaitu doa anak soleh/soleha, sedekah jariah dan ilmu yang bermanfaat “.