Tenang rasanya solat dan iktikaf seketika di Masjid ar-Rahman Pekan Semporna.

Masjid Daerah ini letaknya di tengah suasana sibuk pekan, amat sesuai sekali dengan tuntutan Islam bahawa masjid semestinya menjadi nadi masyarakat Islam.

Kami masuk ke masjid tepat ketika azan zuhur dikumandangkan. Anggaran saya ketika itu, tidak kurang 200 orang jamaah zuhurnya. Bahkan setelah itu, solat zuhur terus menerus didirikan oleh kumpulan berikutnya yang datang belakangan.

Masjid ini boleh memuatkan sekitar 1000 jamaah. Di suatu sudut di belakang terdapat perpustakaan kecil, menampung kitab al-Quran dan buku-buku subjek agama yang lainnya.

Pejabat Imam Daerah, Hj Istihal Danial juga ditempatkan di sini. Hanya kami tidak sempat menemuinya kerana beliau berada di luar.

Van untuk penyelenggaraan janazah juga diletakkan di sini atas sumbangan Pusat Zakat Sabah dan diurus oleh JHEAINS Semporna.

Menarik juga apabila masuk ke ruang letak kereta, ada pondok kecil untuk pemandu bersedekah seikhlas (tabarru’)mungkin buat tabung masjid. Agaknya idea itu bagus, berbanding parkir berbayar untuk kenderaan yang diletak di masjid.

Cuma ketika itu tiada penjaga pondok, jadi kami masuk parkir ke dalamnya tanpa menghulur apa-apa di pondok berkenaan.

Pemandangan Masjid Daerah Semporna dari laut