Archive for 8 April 2010


HARTA ANAK YATIM

“Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala”. (an-Nisa’ : 10)

Rasanya ada satu perkara masyarakat alpa apabila mengadakan kenduri dan tahlil arwah.

Si bapa meninggal dunia, meninggalkan isteri, anak-anak kecil dan besar serta sejumlah harta. Selesai janazah dikebumikan, malam itu bermulalah kenduri kendara.

Ada yang buat tiga hari, tujuh hari, kemudian hari ke-14, hari ke-40, hari ke-100 dan seterusnya. Saya tidak berbincang soal kenduri arwah yang pelbagai pendapat itu.

Namun sesuatu yang terabai rasanya, apabila keluarga menggunakan harta si mati untuk mengadakan kenduri. Hakikatnya itu bukan lagi harta si mati, tetapi menjadi hak waris.

Dalam bahagian-bahagian harta berkenaan, perlu dilihat hak anak si mati terutama jika mereka masih kecil. Awas, jangan asyik seronok makan kenduri kendara, rupa-rupanya termakan harta anak yatim.

 

Masjid ini mendapat nama sebagai Masjid Bandaraya Kota Kinabalu adalah sempena kedudukannya sebagai masjid yang terbesar di kawasan Bandaraya Kota Kinabalu.

Walaupun masjid ini lebih besar daripada Masjid Negeri yang terletak di Sembulan, namun tarafnya diletakkan sebagai masjid utama Bandaraya Kota Kinabalu, manakala Masjid Negeri terus kekal dengan tarafnya sebagai masjid utama negeri Sabah.

Masjid Bandaraya Kota Kinabalu ini terletak di kawasan yang bukan saja indah kerana di kawasan lapang pesisiran pantai dan berhadapan dengan pemandangan laut samudera dan pulau-pulau, tetapi juga berada di tengah-tengah kawasan para jemaah dan kawasan perkampungan Likas, kompleks bangunan-bangunan pejabat dan komersil Likas, Yayasan Sabah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Universiti Malaysia Sabah dan lain-lain.

Masjid ini ditadbir di bawah sebuah Jawatankuasa, iaitu gabungan para profesional dalam pelbagai bidang dan para ulama dan pendakwah bagi memantapkan fungsi masjid ini selaras dengan keperluan hari ini. Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu bagi meningkatkan kemudahan dan keperluan masjid ini dan masa ke masa.

Beberapa sudut pemandangan luar dan dalam masjid ini mempunyai unsur persamaan dengan beberapa sudut pemandangan Masjid Nabawi di Madinah Al-Munawarah. In menjadikannya kelihatan begitu unik, indah dan mengkagumkan.

Masjid ini dibina di atas tapaknya hari ini adalah daripada kesungguhan ikhtiar serta cetusan ilham dan cadangan Allahyarham Tun Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Said bin Keruak, Yang di-Pertua Negeri Sabah yang ke-7.

Pada asalnya tapak masjid ini ialah kawasan pantai dan pesisir air laut Kampung Likas.

Tapak seluas 14.83 ekar ini mula ditimbus pada bulan Julai 1989 dan siap pada bulan Ogos 1989. Ini diikuti dengan kerja-kerja Penyediaan Tapak bermula pada bulan September 1990 dan siap pada bulan Jun 1991. Kerja-kerja menanam cerucuk dimulakan pada 22 Jun 1992 dan siap pada 23 Mac 1993.

Projek berkenaan tidak dapat diteruskan kerana masalah kewangan dan teknikal.

Bagaimanapun, berkat kesungguhan pimpinan Kerajaan Negeri Sabah pada tahun 1994, maka projek berkenaan mendapat peruntukan yang sewajarnya untuk diteruskan. Dengan ini barulah kerja-kerja pembinaan bangunan dan kerja-kerja sivil masjid berkenaan dapat dimulakan.

Bagaimanapun, projek berkenaan menghadapi pelbagai masalah pengurusan dan teknikal menyebabkan kerja-kerja pembinaannya terganggu dan berjalan secara perlahan.

Mulai 1 Januari 1996, pelaksanaan projek berkenaan dipindahkan daripada pengurusan Majlis Ugama Islam Sabah kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah. Pemindahan ini juga menimbulkan masalah teknikal sampingan.

Bagaimanapun, apabila semua masalah projek berkenaan dapat diselesaikan, maka barulah kerja-kerja pembinaan masjid tersebut dapat dipercepatkan dan berjalan dengan licin mulai pertengahan tahun 1997 dan siap pada akhir tahun 1999.

***

Masjid Bandaraya Kota Kinabalu telah dirasmikan oleh TYT Yang Di Pertua Negeri Sabah, Tun Hj Sakaran Dandai pada Februari 2000.

Imam yang pertama di masjid ini ialah Tuan Hj Aslie Abdul Karim. Manakala mereka yang pernah menjadi imam di sini ialah Tuan Hj Nahar Hj Mantamin, Datuk Hj Asmali Bachi dan kini Tuan Hj Losman Linjal dan lain-lain.

Masjid ini terlibat dalam pembaikan 2 tahun lalu. Gambar diambil akhir tahun lalu, setelah semua kerja-kerja pembaikan selesai.

%d bloggers like this: