Setelah membawa kami singgah sebentar di Nilai 3 – yang terkenal dengan pasar tekstil terkemuka -, Hj Omar menghantar kami berdua ke KLIA. Dari rumah beliau ke KLIA sekitar 20 minit sahaja.

Setelah keletihan dalam mesyuarat dan persinggahan yang panjang sebelum berangkat terbang jam 8.00 malam, saya merancang untuk berehat dan tidur sepanjang perjalanan pulang.

Namun itu tidak berlaku. Kata orang, kita hanya merancang, Allah yang menentukan.

Kami agak terlambat masuk ke dalam pesawat kerana solat maghrib + isyak di surau berdekatan selesai jam 7.45 malam.

Terpaku apabila tiba berhampiran tempat duduk yang ditetapkan, saya mendapati seorang makcik bangsa india berbadan besar terlebih dahulu duduk dan berada di sebelah tempat duduk saya.

Ruang kerusinya penuh dan padat, bahkan tersasar ke bahagian saya pula. Dia baca suratkhabar sehingga mengganggu ketenangan saya dan orang di sebelah kirinya.

Saya bukan marahkan badan besarnya itu, sebenarnya kalau dia berbudi bahasa dan meminta maaf sudah memadai. Dia tidak memperdulikan keselesaan bersama.

Oleh kerana keadaan itulah, saya terhimpit dan terpaksa menyenget ke dinding hampir sepanjang penerbangan. Akibatnya, malam ini saya keluar dengan tangan kiri dan leher yang terseliuh. Adui.