Mesyuarat terakhir selesai pada jam 12.30 tengahari.

Sebagaimana janji kami bersama, Tuan Hj Omar Tompang menjemput kami di hotel sekitar jam 12.45 tengahari dan mengajak makan tengahari di rumahnya, di Seksyen 5 Bukit Mahkota.

Bersama saya juga ialah Ust Hj Ibrahim Kisab, Imam Besar Masjid Negeri Sabah.

Tajuk sembang kami sudah tentu berkenaan pengalaman umrah terbaru saya dan sahabat-sahabat, kehidupan dan rumah baru keluarga Hj Omar dan hal ehwal blog yang menjadi sebahagian teman sejak beliau bersara.

Saya sudah tentu tersentuh dengan komitmen beliau yang kerap melayari blog Abu Nuha Corner. Saya tentu menghargai pandangan dan komentar beliau berkenaan blog ini dan artikel yang dimuatkan di dalamnya.

Saya juga yakin menerusi sembang kami, beliau dan isteri yang biasanya hanya berdua di rumah barunya begitu gembira dengan lambakan kuliah, ceramah dan tazkirah di surau dan masjid sekitar.

Memang sepanjang pengetahuan saya, beliau dan isteri memang pencinta ilmu menerusi kuliah dan ceramah di surau dan masjid ketika di Sabah dahulu.

Selain itu, beliau semakin galak mempromosi Andalusia Travel & Tour Sdn. Bhd. yang salah seorang teraju utamanya ialah Ustaz Dato’ Hj Daud Che’ Ngah. Hj Omar adalah wakil Andalusia di sekitar Kajang ini. Khabar terkini, dengan izin Allah beliau akan berangkat umrah pada pertengahan Jun nanti.

Terima kasih atas layanan berharga dan persahabatan yang terjalin. Semoga Allah SWT terus memelihara Tuan Haji dan Puan Hajjah sekeluarga sehingga akhir hayat.