Archive for 2 April 2010


MASJID UNITEN

Sepanjang keberadaan di sini, saya sempat berziarah dan menyertai solat berjamaah dan solat Jumaat di Masjid UNITEN ini.

Antara Hotel Residence dan Masjid UNITEN mengambil masa 10 minit berjalan kaki dengan menyeberangi tasik yang memisahkan kedua bangunan ini.

Nampaknya kebiasaan turun dari Wisma MUIS ke Masjid Negeri Sabah dan dari Hotel Durrah menuju ke Masjidil Haram membantu saya mudah ke Masjid UNITEN walaupun tidak setiap waktu kerana keringanan musafir yang saya miliki.

Masjid ini mempunyai 3 aras. Aras bawah menjadi dewan serbaguna, aras satu dewan solat utama dan aras dua adalah ruang solat wanita. (Sila betulkan kalau tersilap).

Mesyuarat kali ini diadakan di Hotel Residence, UNITEN Kajang Selangor.

Lokasi mesyuarat kali ini di sini menyingkap semula kenangan saya bermesyuarat dalam lajnah ini buat pertama kalinya 3 tahun lalu. Ia menjadi kenangan kerana lajnah ini bagi saya adalah lajnah yang berkat kerana ia berkaitan langsung dengan al-Quran.

Seingat saya, nama saya dicadang oleh Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Sabah Datuk Hj Ahmad Alawi Hj Adnan yang juga merupakan ahli Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Percetakan al-Quran KDN.

Di dalam ini terkandung ahli-ahli al-Quran yang masyhur dengan ilmu al-Quran khususnya dalam bidang tahfiz, qiraat dan seumpamanya. Pemilihan nama saya ketika itu sudah tentu bagi saya menjadi rahmat yang besar kerana berpeluang berguru secara tidak langsung dengan mereka setiap kali bertemu dalam mesyuarat.

Mesyuarat bermula pada sebelah malam dipengerusikan oleh Ust Hj Azhari Othman, selaku timbalan pengerusi lajnah mewakili pengerusi Dato’ Sheikh Mohd Nor Mansur yang tiba lewat.

Mesyuarat penyemakan tahun 2010 agak lewat dimulakan kerana sudah masuk bulan April sedangkan bahan yang diterima oleh urusetia agak banyak. Oleh itu di peringkat ini kami dimaklumkan setiap ahli akan menerima bahan semakan lebih daripada 40 juzu seorang.

Sebahagian besar bahan semakan kali ini adalah berupa teks mashaf, manakala selebihnya berupa audio sama ada readpen, telefon dan cd.

Pada masa bermulanya mesyuarat, beberapa krew TV JAKIM datang ke bilik mesyuarat kami untuk rakaman video korporat. Khabarnya, ia akan ditayangkan untuk majlis-majlis keagamaan yang dianjurkan kerajaan.

%d bloggers like this: