Sepanjang perjalanan pergi dan balik, segala urusan yang berkaitan sebelum dan selepas rehlah imaniah tempohari, saya rakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada insan-insan berikut :

1) Ust Azam yang menghubungi dan mempelawa kami untuk menyertai umrah dan ziarah, sekaligus menjadi amir rombongan. Begitu juga kepercayaannya kepada saya sebagai pembantu beliau dalam misi ini.

2) Rakan-rakan sebilik yang sangat baik dan memahami. Cikgu Hamid, Ust Azman, Amir Fadli dan Ust Zulkifli. Kata orang, cara mengenali perangai dan tabiat rakan adalah dengan bermusafir dengannya. Alhamdulillah, saya diberikan sahabat yang baik dan tidak menyakitkan.

3) Semua ahli rombongan seramai 38 orang. Sebahagian daripada mereka memang dikenali manakala sebahagian lagi hanya dikenali sepanjang perjalanan. Rakan yang membelanja makan, membayarkan tambang bas, membantu kesusahan sesama rakan dan sebagainya.

4) Mereka yang mendoakan. Antaranya ialah isteri dan ahli keluarga, juga rakan-rakan yang berada di tanahair. Begitu juga rakan-rakan yang sering memberi semangat dan peransang melalui sms, komen lewat facebook dan blog Abu Nuha Corner ini.

Apabila bercerita dengan kerja-kerja ibadah ini, bukanlah tujuan saya dan rakan-rakan untuk menunjuk-nunjuk dan meminta pujian. Ia tidak lebih sekadar menceritakan nikmat beribadah sebagai satu motivasi khususnya kepada pelayar blog ini.

Firman Allah : “Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya”. (ad-Dhuha).

Mudah-mudahan dengan kisah-kisah dan catatan yang dipaparkan memberi semangat untuk kita beribadah lebih gigih lagi di tempat sendiri, menggamit kenangan yang manis dan terindah dalam hidup dan berusaha pula untuk ke sana lagi.

Kepada sahabat dan para pembaca yang belum pernah ke sana, atau yang bakal ke sana untuk ibadah umrah dan haji yang akan datang buat pertama kalinya, mudah-mudahan artikel-artikel santai ini dapat memberikan  sedikit sebanyak gambaran dan suasana di tanah suci. Saya mendoakan agar para pembaca beroleh nikmat dan rezeki beribadah di sana.

Mudah-mudahkan kita semua mendapat ganjaran sewajarnya daripada Allah SWT, serta diberikan rezeki dan kesempatan untuk datang semula ke Baitullah dan menziarahi maqam Rasulullah SAW.

Sehingga kini, apabila bertemu rakan-rakan, masing-masing masih terbayang saat-saat manis di sana. Malah ada rakan yang pulang ke tanahair dan terus mengaktifkan akaun Tabung Haji.

Semoga Allah SWT memudahkan.

Advertisements