Archive for Mac, 2010


Antara Gambar Pembangunan Di Sekitar Masjidil Haram. Angka 299 di atasnya, menunjukkan baki hari untuk projek disiapkan dengan izin Allah.

16 Mac 2010 (Selasa)

Apabila balik ke hotel sekitar jam 3 pagi, kami terpisah kerana ada belum selesai, ada yang sibuk mencari selipar yang entah diletak di mana ketika masuk. Ada yang kehilangan selipar dan lucu pula ada yang hilang sebelah sahaja.

Tiada sahabat-sahabat yang tahu sebenarnya dalam perjalanan balik itu, saya tersesat kerana tersalah jalan balik. Dalam keadaan panik bercampur letih dan mengantuk, saya pulang keseorangan tercari-cari bentuk bangunan hotel kami menginap.

Sebenarnya, saya nampak hotel itu tetapi tersalah jalan. Mungkin kerana sikap teruja saya hendak menangkap gambar sambil berjalan ketika itu menyebabkan saya terlalai seketika menuju ke jalan yang lain.

Tidak lama dalam solawat dan istighfar, saya menemui kembali laluan pulang.

Subuh

Meski dalam keadaan letih kerana baru selesai umrah pertama pada jam 3 pagi, kami kuatkan juga untuk turun solat Subuh di Masjidil Haram.

Memang ada di kalangan kami yang terus iktikaf selepas umrah sehingga ke subuh, sementara saya dan beberapa sahabat balik untuk tidur sebentar.

Sesudah itu, pergerakan untuk ke Masjidil Haram dilakukan secara sendirian ataupun dalam kumpulan kecil. Ini kerana masing-masing sudah tahu jalan dan ingin melakukan aktiviti ibadah menurut rancangan sendiri.

Mungkin ada yang hendak tawaf sunat lebih, atau tilawah al-Quran, zikir, iktikaf dan seumpamanya. Hanya aktiviti lawatan keluar yang dilakukan secara berkumpulan kecil atau kesemua sekali.

Sesudah subuh, saya melepak sendirian di dataran Masjidil Haram buat beberapa jam.

Duduk menyandar menghadap Kaabah antara Rukun Yamani dan Hajarul Aswad. Sambil tilawah al-Quran, sesekali saya perhati gelagat manusia yang beribadah di Baitullah.

(Saat ini saya sudah menghabiskan dua pertiga al-Quran).

Ada yang bergerak laju, ada yang perlahan, ada suami menolak isteri yang duduk di kerusi roda, tidak kurang juga yang isteri menyorong suami yang duduk di kerusi roda. Tersenyum sendirian melihat anak-anak kecil 3-4 tahun memakai kain ihram dan bertawaf bersama keluarganya.

Kalau orang Arab, yang saya perhati jamaah dari Mesir agak ramai. Begitu juga dari Oman, Syria dan lain-lain. Saya kurang maklum dengan penduduk negara ini sendiri.

Sebab ada cakap-cakap mengatakan, pengimarahan Masjidil Haram dengan ibadah umrah dan haji majoritinya oleh umat Islam dari negara luar, bukannya orang Saudi. Wallahu a’lam.

Sementara yang bukan Arab, selain kumpulan umrah dari Malaysia, kelihatan dari Indonesia, juga sedikit dari Iran. Biasanya rombongan Malaysia dan Indonesia ini dikenali dengan lambang negara, paras rupa, serta telekung putih muslimat yang lebih panjang ke bawah berbanding orang Arab.

Namun, yang jelas dan paling menonjol ialah kumpulan-kumpulan umrah dari Turki yang mudah dikenali. Kebanyakan mereka orang-orang tua dan bergerak secara kumpulan, zikir mereka juga beramai-ramai dipimpin oleh seorang ketua.

Pakaian mereka biasanya warna krim, coklat muda atau kelabu, dengan tertera lambang dan bendera negara Turki. Saya masih mendengar ungkapan takbir mereka dengan bunyi lafaz ‘Allahu Acbar’.

Perlu kita ingati bersama, sewaktu Mustafa Kamal Atarturk memerintah Turki, beliau melarang semua unsur serta syiar Islam dan bahasa Arab berleluasa di negaranya. Azan dalam bahasa Turki, pakaian menutup aurat seperti tudung dilarang dan sebagainya.

Dalam masa yang sama, unsur sekular dan mungkar diterap bersungguh-sungguh. Budaya tari menari, pergaulan bebas lelaki perempuan, minum arak secara terbuka dan seumpamanya.

Pernah rakan saya bercerita, dia menjumpai kedai-kedai di Turki yang menjual al-Quran dan buku-buku lucah di meja yang sama sekaligus.

Namun Allah SWT memastikan bahawa agama Islam tidak pernah terhapus di bumi Turki. Ini terbukti dengan bercambahnya pusat-pusat tahfiz al-Quran di sana, serta kehadiran rakyatnya menunaikan ibadah haji dan umrah di sini.

Lebih jelas, kemenangan Parti Islam Refah satu ketika dahulu dan berterusan sehingga kini dengan parti serta kumpulan Islam iaitu Parti Pembangunan & Keadilan (AKP) memegang tampuk pemerintahan di bawah pimpinan Recep Tayyip Erdogen, menunjukkan umat Islam di Turki masih sayang kepada Islam.

Ada rezeki, ingin benar pula saya berziarah ke sana, melihat kesan sejarah pemerintahan Khilafah Uthmaniah yang telah berakhir pada 1924. Mudah-mudahan Allah membantu.

Suasana Masjidil Haram sesudah solat subuh pada 16 Mac 2010

Antara kumpulan umrah dari Turki.

Anak kecil berihram bersama keluarganya (tidak kelihatan) di Masjidil Haram

Suasana Masjidil Haram setelah solat Maghrib pada 16 Mac 2010

UMRAH PERTAMA

15 Mac 2010 (Isnin)

Sekitar 9.40 malam, Ust Azam mengumumkan bas besar yang membawa kami saat ini mulai masuk ke dalam kawasan Tanah Haram. Doa dipanjatkan agar niat dan ibadah dipermudahkan oleh Allah SWT.

Dalam masa yang sama, hati masih berdebar. Antara bimbang dan pengharapan yang tidak putus.

Saat itu, sahabat-sahabat mula menyegarkan mata yang sejak tadi asyik terlelap. Mata mula  mencari-cari arah dan letak Masjidil Haram. Menghampiri jam 10 malam, barulah bangunan Masjidil Haram kelihatan bercahaya.

Hotel Durrah setinggi 10 tingkat menjadi pilihan tempat penginapan kami. Ia terletak di kawasan Syubaikah, belakang dan kiri bangunan Darul Tawhid yang tersergam menghadap Masjidil Haram.

Beg dan semua barang disimpan di bilik yang sudah ditetapkan. Saya bersama Ust Azman, Amir Fadhli, Cikgu Hamid dan Ust Zulkifli duduk sebilik di tingkat 9. Ust Azam menetapkan selesai makan, semua akan bergerak untuk tawaf dan saie tepat jam 12 malam.

Perjalanan kaki antara hotel ke pintu masjid yang berhampiran memakan masa 10 minit. Talbiah dilaungkan dengan bersemangat. Doa terus dipanjatkan.

Masuk melalui pintu Malik Fahd, perasaan berdebar semakin kencang untuk bertemu Kaabah dan seterusnya tawaf di sisinya. Seperti saat saya pertama kali dahulu melihat Ka’abah, begitulah perasaan yang dialami oleh para sahabat yang melihat dan berhadapan buat julung kalinya.

Air mata kegembiraan menitis. Seolah tidak percaya kini berada di Baitullah yang menjadi kiblat umat Islam seluruh dunia.

“Ust Mad, nampak? Ust CB, nampak?” Usik saya apabila mata masing-masing bertumpu ke binaan Kaabah itu.

Ust Azam memberi arahan agar memulakan tawaf. Saya dipinta memimpin di hadapan sementara Ust Azam memastikan ahli rombongan dapat memulakan tawaf dengan baik. Selepas tawaf kami dipinta berkumpul semula di tepi tangga dekat lampu hijau, tempat tawaf bermula.

Saya disertai oleh beberapa rakan pada pusingan awal. Apabila sudah rasa selesa, satu demi satu membawa diri untuk tawaf sendirian.

Sambil bertawaf doa dipanjatkan ke hadrat Allah SWT untuk kebaikan diri sendiri, isteri, anak-anak, orang tua, ahli keluarga, sahabat-sahabat dan rakan taulan.

Alhamdulillah, sekitar 40 minit kemudian, tawaf selesai dikerjakan dan masing-masing meluru untuk solat sunat tawaf di belakang Maqam Ibrahim yang menjadi salah satu tempat mustajabnya doa.

Selesai solat, kami bertemu di tempat yang dijanjikan. Menanti sahabat-sahabat yang belum selesai, kami meminum air zam-zam sepuasnya.

Ibadah seterusnya ialah saie. Perjalanan antara dua bukit bersejarah – Sofa dan Marwah sejauh lebih 3km secara keseluruhan dalam 7 pusingan bermula di Bukit Sofa dan berakhir di Bukit Marwah.

Ia mengingatkan perjuangan seorang ibu bernama Hajar bagi mencari seteguk air untuk anak yang menangis kelaparan. Perjuangan itu akhirnya diabadikan dalam ibadah saie yang bererti usaha.

Hampir jam 3 pagi (lebih sejam saie), kami menamatkan ibadah umrah pertama dengan bergunting dan bercukur. Alhamdulillah, segala puji buatMu ya Allah! Rabbana Taqabbal Minna…

15 Mac 2010 (Isnin)

Selesai zuhur terakhir di Masjid Nabawi, kami kembali ke Hotel Andalus tempat penginapan untuk persiapan keluar. Barangan dikemas dan saya memilih untuk mandi sunat dan terus mengenakan pakaian ihram.

Sungguh, perasaan meninggalkan bumi Rasulullah ini begitu menyayat hati sekali. Entah bila pula dapat berkunjung dan berziarah ke mari lagi. Rasanya kenangan 2 malam di sini begitu manis sekali.

Keselesaan beribadah, solat di awal waktu, berdoa sepuasnya di Raudhah, melintasi maqam Rasulullah dan sahabatnya hampir setiap waktu, menziarahi Baqi, mengunjungi masjid-masjid bersejarah, ketenangan tilawah al-Quran…..

Sekitar jam 3 petang, kami bertolak keluar menuju ke Bi’r Ali atau dipanggil Masjid Miqat Dzul Hulaifah, tempat miqat bagi penduduk Madinah dan sesiapa sahaja yang melewati arahnya.

Dari Masjid Nabawi ke sini, hanya sekitar 10km dan perjalanan ke Makkah selepas itu mengambil jarak 410km pula.

Di masjid ini, semua keluar untuk mengenakan ihram (bagi yang belum tukar pakaian ihram) dan solat sunnat ihram selepasnya. Paling penting niat ihram di sini.

Khusus buat rakan-rakan yang berihram pertama kali, kadang-kadang lucu pula melihat aksi mereka berpakaian ihram. Ada saja yang tidak kena dan tidak selesa pada mulanya.

Namun kebanyakannya seperti saya mengakui bahawa setelah berpakaian ihram ini, perasaan begitu lain dan berdebar sekali. Yalah, ini pakaian ibadah umrah yang tidak dikecapi selalu.

Sepanjang perjalanan, talbiah dikumandangkan dan berselang dengan tazkirah yang dipimpin bergilir-gilir oleh para sahabat diketuai oleh Ust Azam dan Ust Nizam.

Labbaikallahumma Labbaik. Labbaika Laa Syarika Laka Labbaik. Innal Hamda, Wan Ni’mata, Laka Wal Mulk, Laa Syarikalak.

Tazkirah yang paling menyentuh bagi saya ialah sebagaimana yang disampaikan oleh Cikgu Abdul Hamid yang begitu bersemangat sekali.

Sambil bas bergerak laju melalui padang pasir dan bukit berbatuan, beliau menyebutkan tentang betapa perjuangan Islam itu sunnahnya melalui kesusahan dan cabaran. Oleh itu tidak wajar kita bersikap malas dan tidak mahu bersusah payah dalam perjuangan.

Memang duduk saja dalam bas yang berhawa dingin, bertalbiah, baca al-Quran, zikir, tidur, termenung ke luar tingkap – itu semua pun meletihkan. Kalaulah perjalanan 5-6 jam itu pun sudah merasa letih, apatah lagi perjalanan hijrah Rasulullah SAW dari Makkah mengambil masa 7-8 hari sebelum baginda tiba di Quba’.

Kami singgah untuk solat maghrib + isyak di sebuah masjid yang berhampiran dengan kawasan Wadi Ummu Ma’bad. Solat kami turut disertai oleh jamaah umrah dari Oman yang kebetulan juga singgah untuk solat di sini.

Ada sebuah kisah yang masyhur berlaku ketika Rasulullah SAW dan rombongan dalam perjalanan hijrah ke Madinah, baginda singgah di sebuah rumah di kawasan padang pasir. Tempat itu dikenali dengan nama Qudaid.

Di rumah itu tinggal seorang perempuan bernama Ummu Ma’bad. Rombongan Rasulullah SAW berhasrat mendapatkan bekalan makanan dan minuman untuk perjalanan yang masih jauh itu.

Ummu Ma’bad seorang yang pemurah. Biasanya tetamu yang datang akan dihidangkan dengan makanan dan minuman tanpa meminta apa-apa bayaran. Namun ketika itu keluarganya kekurangan bekalan makanan.

Ketika itu Rasulullah SAW ternampak seekor kambing yang kurus. Baginda meminta izin untuk memerah susu kambing yang kurus itu. Setelah diizinkan, baginda berdoa kepada Allah SWT dan mula memerah susu kambing tersebut. 

Dengan izin Allah SWT, kantung susu kambing itu penuh. Semua ahli rombongan dapat meminum air susunya dan Rasulullah SAW sendiri meninggalkan sebekas penuh susu kambing untuk Ummu Ma’bad sekeluarga. 

Ada riwayat menyebutkan bahawa sebelum Rasulullah SAW beredar, Ummu Ma’bad sempat memeluk Islam. Tidak lama sesudah pemergian Rasulullah SAW, sekumpulan pemuda Quraisyh datang bertanya kepadanya tentang rombongan Rasulullah SAW.

Namun sebagai seorang yang telah memeluk Islam, Ummu Ma’bad merahsiakan kedatangan dan perjalanan Rasulullah SAW. Riwayat menyebut, Ummu Ma’bad hidup sehingga zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab RA.  

Alhamdulillah, sekitar jam 10 malam, kami selamat tiba di tempat penginapan Hotel Durrah sebelum meneruskan tawaf dan saie pada jam 12 malam.

Bersambung…

15 Mac 2010 (Isnin)

Sejam setengah sebelum zuhur, kami mendapat satu peluang istimewa dengan menziarahi muzium Masjid Nabawi. Mungkin tidak ramai mengetahui bahawa Masjid Nabawi ini mempunyai empat tingkat di bawah tanah.

Muzium Masjid Nabawi ini terletak di tingkat 3 dari bawah.

Kunjungan kami disambut oleh Penjaga Muzium yang dikenali dengan nama Sheikh Faiz, sambil taklimat disampaikan oleh seorang siswa Universiti Islam Madinah, Ust Hj Firdaus Hj Atan yang berasal dari Hulu Langat Selangor.

(Saya mendapat maklum terdapat empat orang siswa Sabah kini menuntut di Universiti Islam Madinah, namun tidak berkesempatan untuk bertemu dengan mereka. Hanya sekadar berkirim salam sahaja).

Tayangan video sekitar 20 minit dipaparkan kepada kami berkenaan pembangunan Masjid Nabawi khususnya pada zaman pemerintahan as-Su’ud.

Di bilik tayangan ini juga ada terdapat beberapa naskhah asal surat-surat baginda SAW kepada Raja Muqauqis, Raja Rom, Amir Bahrain, Raja Najasyi dan Raja Parsi. Juga bentuk cop Rasulullah SAW dan beberapa naskhah al-Quran dahulu hingga kini.

Di sebuah bilik berasingan, dipaparkan gambar-gambar pembinaan dan pembesaran Masjid Nabawi khususnya ketika zaman Raja Fahd. Perletakan batu asas projek perluasan masjid dilakukan pada 2 November 1982 oleh Raja Fahd sendiri.

Baqi’ ialah kawasan perkuburan bagi penduduk Madinah dan sesiapa sahaja yang meninggal dunia di Madinah, termasuk para jamaah haji atau umrah.

Rasulullah SAW sering menziarahi perkuburan Baqi’, baginda mengucapkan salam, berdoa memohon keampunan  serta rahmat Allah kepada mereka yang dikebumikan di situ.

Perkuburan Baqi’ terletak di sebelah tenggara (kiri) Masjid Nabawi. Kini ia dilingkungi oleh pagar yang tinggi. Waktu melawatnya ialah selepas solat subuh dan selepas solat asar. Selain waktu itu, pengunjung dibenarkan masuk sewaktu ada janazah yang hendak dikebumikan.

Walaubagaimanapun kebenaran hanya diberikan kepada kaum lelaki sahaja.

Imam Malik meriwayatkan bahawa kira-kira 10 ribu sahabat yang meninggal dunia dikebumikan di Baqi’ ini. Di antara mereka termasuklah keluarga Rasulullah SAW seperti Fatimah binti Rasulullah, Hasan bin Ali, Abbas bin Abdul Muttalib, Jaafar as-Sodiq, Ruqayyah binti Rasulullah, Ummu Kalthum binti Rasulullah, Zainab binti Rasulullah dan Ibrahim bin Rasulullah SAW.

Begitu juga para isteri baginda seperti Aisyah binti Abu Bakar, Sauda binti Zam’ah, Hafsah binti Umar, Zainab binti Khuzaimah, Ummu Salamah binti Abu Umayyah, Juwairiyyah binti al-Harith, Ummu Habibah, Safiyyah binti Huyai dan Zainab binti Jahsyh.

Antara sahabat terkemuka yang dikebumikan di kawasan ini ialah Abdul Rahman bin Auf, Saad bin Abi Waqqas, Fatimah binti Asad (ibu Sayyidina Ali), Sayyidina Uthman bin Affan, Abu Said al-Khudri, Saad bin Muaz, Abdullah bin Mas’ud dan lain-lain Radhiyallahu anhum ajma’in.

Pagi isnin (15 Mac 2010), saya sempat masuk menziarahi kawasan perkuburan ini bersama ribuan umat Islam yang lain, berdoa kepada Allah buat mereka yang telah mendahului kita.

Saya turut ambil maklum, antara yang dikebumikan di sini baru-baru ini ialah Sheikhul Azhar yang kembali kerahmatullah, Dr Muhammad Sayyid Tantawi RH.

SEKITAR MADINAH

“Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang mendongak ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haram (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan”. (al-Baqarah : 144)

Sewaktu Rasulullah SAW tiba di Madinah, Baginda SAW diarahkan menghadap ke arah Baitul Maqdis sebagai kiblat solat dan ramai di antara penduduk Madinah ketika itu ialah kalangan Yahudi yang sememangnya kiblat mereka ialah Baitul Maqdis.

Oleh itu, orang Yahudi sangat gembira dengan perbuatan Rasulullah SAW ini sedangkan baginda lebih suka berkiblatkan Baitullah. Rasulullah SAW sering berdoa dan memandang ke langit mengharapkan turunnya wahyu agar mengizinkannya bersama para sahabat berpaling ke Baitullah.

Ada riwayat mengatakan bahawa orang-orang Yahudi sentiasa mengejek Rasulullah SAW dengan berkata : “Muhammad menentang ajaran kita, tetapi solatnya mengikut kiblat kita”.

Akhirnya, setelah 16 atau 17 bulan Rasulullah SAW menghadap ke arah Baitul Maqdis, barulah baginda mendapat perintah berkiblatkan Kaabah.

Tentang saat-saat perubahan kiblat itu berlaku ketika Baginda SAW sedang melawat Kampung Bani Salamah. Ummu Bisr bin al-Barra’ bin Ma’rur telah menyediakan jamuan untuk rombongan Rasulullah  SAW.

Apabila tiba waktu zuhur, baginda bersolat di masjid kampung tersebut. Ketika dalam rakaat kedua solat itulah, turun wahyu daripada Allah SWT memerintahkannya agar menukar arah kiblat dari Masjidil Aqsa ke arah Kaabah.

Baginda terus berpaling menghadap Kaabah dengan berpusing ke sudut 180 darjah dan menyambung baki solatnya. Dengan itulah, masjid ini mendapat namanya – Masjid Qiblatain bererti Masjid Dua Qiblat.

Masjid ini dengan perluasan dan pembesaran dilakukan kali terakhir pada tahun 1987 zaman pemerintahan Raja Fahd dengan kos membabitkan 54 juta Riyal. Sehingga hari ini, Masjid Qiblatain menjadi salah satu tumpuan pengunjung walaupun tidak mempunyai fadhilat khusus seperti Masjid Quba’.

 

Kompleks Percetakan al-Quran Raja Fahd, Madinah ini mula diletakkan batu asasnya oleh Raja Fahd bin Abdul Aziz as-Su’ud pada 16 Muharram 1403 bersamaan 23 Oktober 1982 dan dirasmikan pada 16 Muharram 1405 bersamaan 30 Oktober 1984 di bawah Kementerian Urusan Islam, Wakaf, Dakwah dan Bimbingan Islam.

Terletak 5km dari Masjid Nabawi, Kompleks Percetakan al-Quran dengan keluasan 250,000 meter persegi ini menerima kunjungan umat Islam pada hari-hari bekerja sahaja. (Cuti pada khamis dan jumaat). Kompleks ini juga menyumbangkan senaskhah al-Quran kepada jamaah haji kembali ke tanahair masing-masing.

Selain produk mushaf cetak riwayat Hafs ‘an Asim yang biasa dibaca oleh kebanyakan umat Islam seluruh dunia, kompleks ini juga menerbitkan al-Quran terjemahan ke dalam sekitar 40 bahasa; kitab-kitab pengajian al-Quran, Hadith dan Sirah Nabawi, dan lain-lain.

Terdapat 1700 petugas secara keseluruhannya di dalam kompleks ini yang terdiri daripada para alim-ulama’, pegawai dan pekerja teknikal dengan operasi terus menerus 24 jam dengan beberapa pembahagian tugas. Justeru, kompleks ini berkemampuan mencetak sekitar 10 juta terbitan setahun.

Untuk Muashaf al-Quran edisi cetak, terdapat 23 al-Quran pelbagai jenis dan saiz; dan lebih 40 al-Quran edisi terjemahan pelbagai bahasa dan saiz. Juga terdapat al-Quran berbentuk cakera padat.

Alhamdulillah, selain diberikan Mushaf al-Quran Riwayat ad-Duriy secara percuma, saya juga membeli al-Quran Riwayat Qalun dan Riwayat Warysh. Kompleks hanya memberi satu sahaja secara percuma, jika ingin lebih, ada dijual di ruangan premisnya dengan harga yang berpatutan.

Elok juga dimaklumkan bahawa kompleks ini menerima permohonan secara surat pos bagi mendapatkan produk-produknya dengan menulis surat kepada pihak berkuasa di sana.

Rujuk web http://www.qurancomplex.org/ untuk keterangan lanjut. Wallahu a’lam.

Antara mashaf yang dicetak di kompleks ini.

“Bukit Uhud ini mencintai kami dan kami mencintainya” (HR Bukhari)

Memandang dari jauh akan kegagahan Bukit Uhud, timbul satu kegerunan yang semacam.

Meski ini kali kedua berkunjung, saya tetap teruja dan merasai semangat perjuangannya. Inilah lokasi yang pernah menjadi medan perjuangan dan menyaksikan gugurnya para syuhada pada bulan Syawal tahun ketiga hijrah.

Bukit ini adalah salah satu sebuah bukit terbesar dan terpanjang di Madinah. Letaknya di bahagian utara Madinah iaitu kira-kira 5km dari pusat bandar. Di sinilah berlakunya pertempuran sengit  antara tentera Islam dan musyrikin dari Makkah.

Setelah kekalahan musyrikin Makkah dalam Perang Badar, mereka merancang untuk membalas dendam dalam pertempuran berikutnya. Mereka menyediakan ketumbukan tentera yang besar. 3000 tentera, 3000 ekor unta, 200 ekor kuda dan 700 perisai pertahanan.

Pada asalnya, pasukan ketenteraan Islam bermula dengan 1000 tentera, 2 ekor unta dan 100 perisai pertahanan. Namun kemudiannya berkurangan kepada 700 orang sahaja apabila 300 orang yang terdiri daripada Yahudi dan munafik yang menjadi musuh dalam selimut menarik diri daripada kumpulan Islam.

Tentera Islam berkhemah di antara dua bukit. Bukit Uhud di belakang mereka, Bukit Rumah di sebelah kiri sementara Kota Madinah di hadapan mereka.

Rasullullah SAW keluar dari Kota Madinah selepas solat Jumaat di Masjid Nabawi.

PERTEMPURAN PERTAMA : KEMENANGAN

Pada hari sabtu, berlakunya pertempuran pertama di sebelah barat Bukit Uhud. Di sini tentera muslimin telah menunjukkan keberanian yang luar biasa sehingga mengalahkan tentera musyrikin yang lebih ramai jumlahnya.

Mereka berjaya mengawal keadaan dan mengejar tentera musyrikin keluar tidak jauh dari situ dan kembali semula ke kawasan perkhemahan mereka.

PERTEMPURAN KEDUA : KESILAPAN & KEKALAHAN

Apabila para pemanah melihat tentera musyrikin kalah dan lari meninggalkan medan, sebahagian tentera pemanah telah turun untuk mengumpul harta yang ditinggalkan musuh. Yang tinggal hanya Abdullah bin Jubair AS bersama 10 tentera yang lain.

Inilah kesilapan besar yang membawa kepada kekalahan mereka.

Dalam pada itu, Khalid bin al-Walid dan Ikrimah bin Abu Jahal yang merupakan pemimpin tentera berkuda Quraisy telah mengambil kesempatan untuk menyerang tentera pemanah Islam dari belakang. Mereka telah berjaya menggempur tentera Islam dengan membunuh kesemua baki pemanah di situ seorang demi seorang.

Mereka juga sempat memanggil semula tentera yang telah berundur dan mengepung tentera Islam dari segenap penjuru. Dalam keadaan genting, tentera musyrikin mengambil peluang menujukan serangan ke atas Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW bertempur dengan berani dan memanah sehingga patah busur panahnya. Baginda mengalami kecederaan di kepala dan muka, di samping gigi depannya patah dan bibirnya luka. Darah membasahi wajah dan mengaburi pandangannya menyebabkan baginda terjatuh ke dalam lubang lalu rebah dan luka di lututnya.

Orang Ansar yang cuba melindungi dan membentengi baginda gugur satu demi satu. Seramai 11 orang telah gugur syahid, namun tidak menggoncangkan semangat dan fikiran baginda.

Baginda berteriak memanggil tentera Islam supaya datang kepadanya. Mereka baru  menyedari bahawa Rasulullah SAW masih hidup yang sebelum ini disangkakan sudah terbunuh. Mereka melingkungi baginda seperti tembok yang teguh yang kukuh.

Baginda mengarahkan mereka berundur sehingga sampai ke tenpat yang tinggi iaitu di atas Bukit Uhud. Di sini, tentera Islam bukan sahaja boleh mempertahankan diri daripada serangan musuh bahkan mampu memaksa mereka berundur.

Tentera musyrikin merasa marah dan kecewa kerana tidak dapat mengalahkan tentera Islam, dan mereka mula memotong dan merosakkan mayat para syuhada’ sambil berundur pulang ke Makkah.

Maqam Syuhada Uhud.

Inilah tempat persemadian Sayyidus Syuhada’ Hamzah bin Abdul Muttalib bersama 70 syuhada yang lain. Menurut ahli sejarah, 64 daripada mereka adalah golongan Ansar sementara bakinya adalah Muhajirin. Tentera musyrikin yang hanya kehilangan 22 tenteranya.

Jabal Rumah (Bukit Pemanah).

Sebelum bermulanya pertempuran, Rasulullah SAW mengarahkan supaya 50 orang pemanah mengambil tempat di puncak bukit ini untuk melindungi bahagian belakang tentera Islam. Abdullah bin Jubair  al-Ansori dilantik sebagai ketua.

Rasulullah SAW mengeluarkan arahan : “Jika kamu melihat kami beroleh kemenangan jangan kamu sekali-kali turun kepada kami. Jika kamu melihat kami dibunuh sekalipun, jangan cuba turun untuk menolong kami. Jangan tinggalkan tempat kamu itu sekalipun kamu melihat tentera Islam dipatuk oleh burung-burung”.

Baginda juga mengarahkan mereka supaya memanah ke arah pasukan tentera berkuda musyrikin bagi menyekat kemaraan mereka.

Masjid Syuhada’.

Sesetengah ulama’ berpendapat, Sayyidina Hamzah pada mulanya dikebumikan di kawasan ini. Kemudiannya dipindahkan ke tempat yang ada sekarang.

KEBUN KURMA

Masih 14 Mac 2010 (Ahad)

Dari Masjid Quba’ yang bersejarah dan tapak Masjid Dhirar di sebelahnya, bas sewa kami seterusnya bergerak menuju ke kebun dan pasar kurma yang terletak sekitar 10 minit berkenderaan dari lokasi sebelumnya.

Kota Madinah tidak dapat dipisahkan dengan kesuburannya khususnya kebun-kebun kurma yang terdapat di dalamnya. Pohon-pohonnya bermacam jenis, sehingga ada yang mengatakan lebih 200 jenis kurma.

Saya perasan setelah tiba di kawasan berkenaan bahawa jualan pelbagai jenis kurma, kacang dan seumpamanya di kawasan kebun kurma adalah satu bentuk psikologi yang hebat dan menawan mereka yang datang.

Manakan tidak, pengunjung seperti dari Malaysia, Indonesia, Brunei dan sekitarnya khususnya bagi yang tidak pernah melihat kawasan ladang atau kebun kurma begitu teruja melihat satu premis yang penuh dengan bermacam jenis kurma / tamar dijual di dalamnya.

Apatah lagi, kebanyakan tidak mengetahui harga patut bagi setiap jenis kurma atau kacang yang dibeli. Yang penting, asal ada duit, beli! Lagipun kebanyakan berfahaman bahawa kurma yang dijual di premis berkenaan dikait dari pohon-pohon sekitarnya.

Yang seronoknya itu, penjual dan pekerjanya bertutur dalam bahasa Melayu. Ya, ada di kalangan mereka orang Arab dan ada juga pekerja Indonesia. Keadaan itu menyukakan para pelanggan yang berurusan.

Pelanggan juga dibenarkan mencuba pelbagai jenis kurma yang ada. Di belakang premis disediakan secawan teh secara percuma. Pendek kata, layanan begitu istimewa kepada pelanggan yang datang.

Ada rakan-rakan menghabiskan belian di sini sehingga 400-500 riyal Saudi. Mungkin ada yang lebih lagi. Saya hanya belanjakan 100+ riyal sahaja. Beli beberapa jenis coklat inti kurma dan kekacang yang menjadi kegemaran anak-anak.

Kurma Ajwah yang berkhasiat dan ditanam oleh Rasulullah SAW itu tidak saya beli di sini. Di kawasan premis ini harga tamar ajwah berharga 80 riyal sekilo.

(Malam itu, saya meronda sendirian di deretan kedai di hadapan Masjid Nabawi, khususnya mencari tamar ajwah. Di sini saya beroleh tamar ajwah yang berharga 50 riyal sahaja sekilo. Jadi saya beli 2 kilo dengan harga 100 riyal.

Kemudiannya, saya mendapat tahu, kurma yang dijual di kawasan kebun itu diambil bukan dari kebun berkenaan. Bahkan ada yang menempah dari premis-premis di sekitar Kota Madinah sendiri. Jangan terkejut, ada bacaan yang saya rujuk banyak juga kurma dibawa dari luar Madinah dan diimport dari luar.

Selain itu ada maklumat saya perolehi, sebahagian komisyen diberi kepada pemandu-pemandu bas agar membawa rombongan jamaah datang ke kebun kurma).

Walaubagaimanapun, kita tidak menafikan kelebihan kurma secara umum khususnya daripada sudut kesihatan sebagaimana kajian pakar-pakar perubatan dan kesihatan. Apatah lagi kurma ajwah yang istimewa itu.

Maksud hadith Nabi SAW :

“Sesiapa yang makan tujuh biji tamar ajwah pada waktu pagi, nescaya dia tidak dapat dimudharatkan oleh racun dan sihir pada hari itu”(HR al-Bukhari)

Apapun, bagi yang sudah membeli sakan, tambahkan lagi dengan harga yang mahal, redhakan sajalah. Kita belajar untuk tidak terlalu sayangkan duit, apatah lagi yang sudah terlepas akibat kealpaan diri.

Orang ramai berpusu ke premis ini. Yang jelas kelihatan orang Malaysia dan Indonesia.

Macam-macam ada. Penjual di luar premis, orang Indonesia.

Tamar Ajwah dengan harga 80 riyal sekilo

Pelanggan bersusun untuk membayar barangan yang sudah dibeli.

%d bloggers like this: