Sepanjang berada di sini, saya memerhatikan beberapa bukti keamanan yang dijanjikan oleh Allah SWT.

1) Ketika menukar wang USD/RM kepada Riyal, saya perhatikan sekeliling premis pengurup wang. Tiada pengawal keselamatan, tiada sekuriti dengan senapang M16. Bahkan wang kertas matawang seluruh dunia bernilai jutaan bertaburan di atas lantai tanpa diusik melainkan oleh dua pekerja.

2) Ketika pulang dari berziarah, saya nampak satu mesin ATM di tepi jalanraya. Tiada pengawal di dekatnya, atau sebarang penjaga yang berhampiran seperti di tempat kita.

3) Kunci bilik hotel hanya diletak di atas meja kaunter. Dalam banyak keadaan biasanya kaunter berkenaan tidak ada sesiapa pegawai mereka yang menjaga. Demikian keadaan kunci berkenaan ditinggalkan sehingga pulang kembali dari luar. Tidak hilang dan tidak diusik.

Di tempat kita, bank dan seumpamanya dilengkapi dengan CCTV dan sekuriti bersenjatakan M16. Itupun masih terdapat rompakan jutaan ringgit.

Di tempat kita, ATM bank 24 jam biasanya ada kawalan keselamatan sama ada dengan pengawal atau CCTV. Setidaknya, ia diletakkan dekat dengan kawasan ramai. Kedapatan pengawal sendiri berpakat dengan perompak melarikan mesin ATM.

Di tempat kita, jangankan hotel, pusat membeli belah dan sebagainya, PA System dan tabung masjid pun dicurinya.

Keamanan di tanah suci dijanjikan oleh Allah SWT. Dua Tanah Suci adalah bumi terlaksananya undang-undang Jinayat Islam. Pelaksanaan undang-undang Islam disukai oleh orang beriman dan digeruni oleh penjenayah.

Allah SWT menimbulkan perasaan gerun dan takut di dalam hati mereka kerana hukuman itu adalah berdasarkan peruntukan undang-undang Allah SWT bukan undang-undang manusia.

Di bumi yang tidak melaksanakan perundangan Islam, buatlah peraturan sehebat mana, denda sebanyak mana, penjara selama mana, gantung berulang kali pun, itu semua tidak digeruni penjenayah kalau tidak berteraskan undang-undang dan semangat Islam.

Advertisements