1) Khutbah dan Solat Jumaat
Kami selesai melakukan lawatan ke sekitar Makkah menjelang 11.30 tengahari. Ziarah sejak jam 7 pagi ke Masjid Hudaibiyah, ladang unta, Gua Tsur, Arafah, Jabal Rahmah, Mina dan Masjid Ji’ranah.
Beberapa sahabat mengambil kesempatan untuk berihram dan umrah melalui miqat di Masjid Ji’ranah. Seperti yang saya catatkan sebelum ini, Ji’ranah menjadi lokasi Rasulullah SAW miqat umrah.
Sementara saya agak keletihan kerana umrah baru saya tamatkan sekitar jam 3 pagi. Alhamdulillah, ketika itu saya dapat mengkhatamkan al-Quran ketika ibadah saie. Tilawah itu saya mulakan sejak perjalanan bermula dari KKIA ke KLIA.
Menanti azan Jumaat dan khutbah, saya memulakan tilawah buat kali kedua, sambil sesekali saya dengan Cikgu Hamid berbual dengan seorang jamaah dari Mesir yang menunaikan umrah.
Dia memperkenalkan dirinya sebagai Muhammad Abdul Ghaffar an-Najjar bin Ahmad Muhammad an-Najjar. Melalui sembang itu, beliau menceritakan datuk dan bapanya adalah ahli Ikhwan al-Muslimin. Bahkan datuknya adalah antara penggerak awal pada zaman Hassan al-Banna.
Khutbah khatib pada hari tu berkisar tentang sejarah Palestin dan Masjidil Aqsa yang menjadi kewajiban umat Islam membebaskannya daripada cengkaman Yahudi Israel.
2) Madrasah Soulotiah
Ust Azam ada menyebutkan kepada saya berkenaan madrasah bersejarah ini. Saya mendapat maklum ia diasaskan pada tahun 1292 Hijrah (sekitar 1870an).
Madrasah ini dikatakan diasaskan oleh ulama’ dari India dan antara penuntutnya ialah Datuk Hj Ahmad Othman (mantan timbalan mufti Sabah).
Madrasah ini terletak bersebelahan dengan Hotel Durrah tempat penginapan kami. Namun apabila saya menjejakinya, bangunan madrasah ini sudah kosong tidak berpenghuni lagi.
3) Kepulangan rombongan pertama
Sabtu 20 Mac, 33 ahli rombongan kami berlepas pulang dalam dua penerbangan. Abang Yusuf dan isteri pulang melalui penerbangan Air Arabia menuju Sharjah-Dubai-Kuala Lumpur.
Sementara 31 orang diketuai Ust Azam pulang menerusi Penerbangan Malaysia terus dari Jeddah-Kuala Lumpur.
Sekurang-kurang ada dua perasaan yang berlegar sesama kami. Yang pulang berpendapat kami yang tinggal lebih untung kerana berpeluang beribadah lebih di bumi Makkah ini.
Sementara kami yang tinggal sedikit sebanyak tidak dapat menyembunyikan perasaan sunyi kerana kini hanya tinggal berlima.
4) Bertemu beberapa orang
Sejurus keberangkatan pulang 31 orang sahabat kami, waktu asar pun tiba. Jadi kami terus ke Masjidil Haram.
Di Masjidil Haram, selepas solat saya bertemu dengan Menteri di Jabatan Ketua Menteri YB Datuk Hj Nasir Tun Sakaran yang bakal pulang keesokan harinya ke tanahair melalui Penerbangan Diraja Brunei.
Esoknya, saya bertemu pula dengan Ust Saifuddin Daud, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan JHEAINS bersama anaknya dalam keadaan mereka berihram. Di hotel tempat menginap, kami turut bertemu dan berbual dengan pak mertua kepada Ahli Parlimen Parit Buntar YB Dr Mujahid Yusuf.
5) Usrah di Masjidil Haram
Selepas solat maghrib (20hb Mac), kami berkumpul di tingkat 1 Masjidil Haram, tidak jauh dari Bukit Safa tempat permulaan Saie. Kami seramai 5 orang + 3 orang jamaah dari Banjarmasin Kalimantan yang menyertai usrah ringkas itu.
Cikgu Hamid mempengerusikan usrah, sementara saya mengisi sedikit ruang dengan mengulas ringkas ayat 96 & 97 daripada surah Ali Imran :
“Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.
Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk”.
Sementara Ust Zulkifli Mustafa menghurai lanjut daripada segi falsafah talbiah yang dilafazkan oleh setiap jamaah umrah dan haji.
Pada penghujung usrah, kami mengaminkan doa buat rakan baru dari Banjarmasin ini memohon petunjuk kepada Allah SWT kerana seorang rakan serombongan mereka hilang sejak 4 hari lalu.
6) Ibadah sendirian
Ahad, mulanya kami merancang untuk ke Muzium Haramain namun akhirnya terbatal begitu sahaja kerana semuanya tidur dan terjaga semula pada jam 11.30 pagi.
Namun selepas itu hampir semua pergerakan kami dilakukan sendirian. Mungkin menjelang sehari sebelum pulang, masing-masing hendak memuaskan hati dan diri sendiri sebelum berpisah.
Ada yang memperbanyakkan tawaf sunnat dan iktikaf sementara saya berjuang untuk mengkhatamkan al-Quran dalam tempoh 3 hari buat kali kedua.
Dalam masa yang suntuk, sempat juga sesekali keluar membeli belah. Tumpuan saya jubah abaya, jubah, kopiah dan kitab-kitab. Sahabat yang lain tidak ketinggalan membeli buah tangan untuk mereka di tanahair.
7) Tawaf Selamat Tinggal
22 Mac 2010 (Isnin) 11.30 pagi. Akhirnya detik memilukan itu hadir juga. Kami bergerak dari hotel dan kemudian bertawaf buat kali terakhir.
Kira-kira 10-15 minit sebelum zuhur, tawaf wida’ ini berakhir. Pusingan tawaf yang ketujuh, saya dibasahi dengan hujan renyai beberapa ketika. Kami menanti solat Zuhur sebelum berangkat keluar.
Alhamdulillah, dalam penantian zuhur inilah saya dapat mengkhatamkan al-Quran. Sepenuhnya saya baca di bumi Makkah. Inilah kenangan terindah saya dan azam saya untuk meneruskan ibadah tilawah ini di tanahair.
Bergerak keluar dari Masjidil Haram cukup menyedihkan. Di kawasan perkumpulan burung merpati, saya mendapat ‘hadiah dari langit’. Tahi burung mengena lengan jubah berwarna krim saya.
8) Makkah – Jeddah
Selesai makan tengahari yang istimewa – nasi basmati dengan daging kambing, kami berangkat pulang dengan sebuah van meninggalkan Hotel Durrah dan bumi Makkah yang dikasihi dengan perasaan bercampur baur.
Perjalanan sejam dengan pemandu bernama Aiman yang baik hati. Dia bercerita tentang dirinya dan bermacam perkara. Saya beri peluang Cikgu Hamid duduk di hadapan sebelah Aiman, mempraktiskan bahasa Arabnya buat kali terakhir sebelum pulang.
Sekitar sejam kemudian, kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah dengan tambang van 250 riyal. Nampaknya ramai rakyat Malaysia dan Indonesia menanti masa untuk pulang ke tanahair masing-masing.
Di sini kami bertemu dengan YB Abdul Fattah Haron dari Kelantan yang penerbangan pulangnya sama dengan kami. Sedikit sebanyak kami berbual tentang isu semasa khususnya tentang Kelantan dan politik Malaysia.
9) Berangkat Pulang
Alhamdulillah semua urusan kami boleh dikatakan berjalan lancar. Awal pendaftaran masuk, dan barang pula mudah masuk kargo walaupun kesemua kami terlebih had muatan yang dibenarkan.
Penerbangan Malaysia pada jam 11.55 malam waktu Saudi dan selamat tiba di KLIA pada jam 1.45 petang waktu Malaysia. Jam 7.50 malam kami bertolak ke KKIA dan selamat tiba di rumah sekitar 11 malam. Alhamdulillah.
Pasangan kerdil yang menjadi tumpuan jamaah ketika tawaf. Tinggi pasangan ini kedua-duanya sekitar pinggang orang dewasa.
Masjidil Haram 18hb Mac 2010, 7.14 pagi
Masjidil Haram 18hb Mac 2010, 7.15 pagi. Pekerja Masjid sedang membersihkan binaan Maqam Ibrahim.
Rombongan dari Turki.
Makcik-makcik Turkiah, mengenakan bunga kuning untuk lambang kumpulan umrah mereka.
Kasih isteri.
Lelap. Foto dirakam pada 18 Mac 2010, jam 7.19 pagi
Pekerja Masjidil Haram membersihkan dataran utama masjid
Mengingati Allah ketika baring
Pekerja Masjidil Haram mengemas dan menyusun al-Quran al-Karim
Air zam-zam menjadi tumpuan sebelum dan sesudah solat
Anak-anak kecil ini juga mengambil kesempatan untuk minum air zam-zam yang barakah ini.
Permulaan tawaf ditandakan dengan lampu hijau ini.
Salam utz.
Saya sendiri berasa sedih saat membaca tawaf wida’ yang dilakukan ustaz. Tak sangka air mata membasahi pipi. Semoga perjalanan ibadah umrah ustaz dan sahabat semua diberkati dan makbullah, amin. Saya juga menunggu hari 18/6 untuk ke sana, insya Allah.
SYUKUR ALHAMDULILLAH……….dan terima kasih banyak ustaz di atas cerita2, gambar2, serta ilmu yang begitu bererti yang terdapat didalam blog ustaz yang saya kira agak unik dan ganas maksud saya ganas di sini kerna saya suka dengan sikap berterus terang ustaz yang kena pada tempatnya dan bersahaja. Sepanjang penceritaan umrah ustaz kali ini sebenarnya menyentuh hati kecil saya ………bukannya apa maklumlah saya ne bukannya baik pun tapi bila membaca blog ustaz & cerita tentang Baitullah terasa sangat hati ne. entahlah ustaz harap2 satu hari nanti Allah bisa jemput saya ke Baitullah, Raudah dan sebagainya.Amin. terima kasih ustaz
Tkasih byk…sy amat menghargai tulisan ustz..tulis lak ttg gerakan dakwah d sabah..23 & 24 april kami (Hj Abd Din, Khaidir,Nasirin) pgrm pertama di Ipoh…mei ekspidisi hj ayub di Perak n Kedah..
USTAZ SAYA RASA SANGAT SAYU BILA MEMBACA BLOG USTAZ ,SBAB SAYA TAK TAHU BILA LAGI SAYA DAPAT KESANA .KALI TERAKHIR SAYA KESANA PADA MEI 2009 BERSAMA ANAK-ANAK,
KALI TERAKHIR DI SANA SANGAT SEDIH USTAZ . SAYA TERHALANG UNTUK MELAKUKAN TAWAF WIDA’ SBB UZUR JD HANYA ZIARAH DARI LUAR MASJID,SEBAIK DUA TIGA LANGKAH MENINGGALKAN MESJID AIR MATA TAK DPT DI HALANG-BIMBANGGGGG TAK DAPAT ZIARAH LAGI KE SANA AKIBATNYA KINI RINDU SANGAT SAYA DENGANNYA,SEMUGA ADA PELUANG AKAN DATANG.
SEMASA PROSES KEPULANGAN ,DI JEDAH SAYA DAN ANAK HAMPIR TERTUNDA PENERBANGAN SBB ADA PEGAWAI ARAB SAUDI HENDAK KE MALAYSIA JADI KERUSI KAMI TELAH DI AMBIL OLEHNYA DENGAN GANJARAN KAMI AKAN DI BERI HOTEL LIMA BINTANG PADA MALAM ITU DAN PENERBANGAN EXCUTIVE KE ESUKANYA,TP SAYA MENOLAK KERANA RASANYA MEMBANZIR SAYA MELEWATKAN KEPULANGAN ….. TP JIKA PELUANG INI TERJADI SEMASA MASIH DI MEKAH KIRA OK JUGA.APA HAL PUN ADA INSAN YANG BERHATI MULIA MENGANTIKAN TEMPAT KAMI. T/KASIHLAH PADA NYA.
Assalamualaikum ustaz, minta jasa baik ustaz memberi panduan bagaimana mengerjakan umrah bersama anak kecil yg belum berkhitan. terima kasih
Assalamualaikum Ustaz,
Alhamdulillah saya dah membaca dan menatap blog yang ustaz tulis serta gambar. Saya baru selesai menunaikan umrah pada 9 – 21 jun 2010 yang lalu. Saya pesakit buah pinggang tak dapat menunaikan haji- fatwa telah dikeluarkan. Saya dibenarkan membuat badal haji dan telah dilaksanakan pada tahun lepas 1430H. Selepas itu saya melaksanakan umrah sendiri. Alhamdulillah semuanya selesai. Mohon Allah menerima badal haji saya dan umrah yang saya laksanakan dulu. Insya Allah saya berazam untuk melaksanakan umrah masa akan datang dan kalau bolehdalam bulan ramadhan. Membaca blog dan melihat gamgar terasa seperti berada bersama-sama di Madinah, Makkah dan tempat-tempat lawatan dan tempat melaksanakan miqat. Terima kasih. sayayang ikhlas, ismail.