Archive for 30 Mac 2010


Kalimah Ji’ranah dinisbahkan daripada nama seorang wanita yang hidup di daerah tersebut. Sekarang, Ji’ranah adalah sebuah perkampungan di Wadi Saraf, lebih kurang 24 km dari Masjidil Haram sebelah timur laut.

Di masjid ini biasanya digunakan untuk berihram dalam ibadah umrah oleh penduduk Makkah.

Di Ji’ranah inilah Rasulullah SAW pernah meninggalkan para tawanan dan harta rampasan perang yang diambil dalam perang Hunain pada tahun 8 hijrah.

Selama 10 malam berada di sini, Rasulullah SAW tidak membahagi-bahagikan harta rampasan perang, kerana menunggu-nunggu orang Hawazin yang bertaubat datang menyusul.

Ketika harta dibahagi-bahagikan itulah utusan Hawazin datang memohon kepada Rasulullah SAW agar baginda membebaskan tawanan perang bersama hartanya.

Rasulullah SAW menyuruh mereka memilih diantara tawanan atau harta, lalu mereka memilih tawanan untuk dibebaskan. Rasulullah SAW memerintahkan para sahabat agar membebaskan para tawanan Hawazin dengan lembut.

Kemudian, pada malam itu jugalah dari Ji’ranah ini Rasulullah SAW mengenakan pakaian ihram dan melakukan ibadah umrah yang diselesaikan oleh baginda pada malam itu juga.

Menarik untuk dicatatkan di sini bahawa ketika pembahagian harta dijalankan, harta rampasan itu dibahagikan kepada mereka yang baru memeluk Islam. Baginda SAW tidak memberikan harta rampasan ini kepada golongan Ansar sehingga menimbulkan cakap-cakap di kalangan mereka.

Ketika itulah baginda SAW bersabda :

“Adakah kamu wahai orang Ansar tidak suka, jika ada orang yang datang dengan kambing dan untanya; kemudian kembali pulang bersama Rasulullah di dalam rombongan mereka?”

Mereka menangis mendengar penjelasan Rasulullah SAW sehingga membasahi janggut mereka sambil berkata : “Kami rela di atas keputusan dan ketetapan Rasulullah SAW”

Di sini juga turun wahyu berkenaan ibadah haji dan umrah melalui surah al-Baqarah ayat 196 :

“Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah; maka sekiranya kamu dikepung (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah Dam yang mudah didapati; dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang Dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya.

Maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur rambutnya), hendaklah ia membayar fidyah iaitu berpuasa, atau bersedekah, atau menyembelih Dam. Kemudian apabila kamu berada kembali dalam keadaan aman, maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan Umrah, (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat Haji, (bolehlah ia melakukannya kemudian wajiblah ia) menyembelih Dam yang mudah didapati.

Kalau ia tidak dapat (mengadakan Dam), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan Haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing); semuanya itu sepuluh (hari) cukup sempurna. Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetap (di sekitar) masjid Al-Haraam (Makkah).

Dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat balasan seksaNya (terhadap orang-orang yang melanggar perintahNya)”.

MASYA’IR

Dataran Arafah

Kami melalui padang Arafah yang terbentang luas.

Arafah merupakan salah satu lokasi di luar batas tanah suci, yang terletak di sebelah tenggara Masjidil Haram dengan jarak 22km. Luas padang Arafah sekitar 10.4 km persegi.

Di sinilah para jamaah haji berkumpul bagi melaksanakan wuquf pada 9 Zulhijjah, melaksanakan solat zuhur dan asar secara jamak taqdim, menghabiskan waktu dengan ibadah doa, tilawatul Quran, zikir, tazkirah dan sebagainya.

Dinamakan Arafah kerana Nabi Adam AS dan Hawa bertemu dan saling kenal mengenali (ta’aruf) buat pertama kalinya di sini.

Ada pendapat lain pula mengatakan Malaikat Jibril AS mengajar Nabi Ibrahim AS tentang ibadah haji. Sesudah itu Jibril AS bertanya : “‘Arafta?” (Kamu sudah tahu?) Lalu Nabi Ibrahim AS menjawab : “Arraftu” (Aku sudah tahu). Maka dinamakan tempat itu Arafah.

Manakala menurut Ibnu Abbas RA, dinamakan Arafah kerana manusia mengetahui dan mengakui dosa dan kesalahannya.

Jabal Rahmah

Bukit Kasih Sayang ini ialah bukit kecil yang terdiri daripada batu-batu besar yang keras. Untuk menaikinya melalui sebanyak 168 buah anak tangga, setinggi 65 meter dari permukaan tanah.

Ia terletak dalam kawasan Arafah, kira-kira 1.5km dari Masjid Namirah.

Setibanya kami di kawasan berhadapan dengan Jabal Rahmah, hampir setiap seorang daripada kami diserbu oleh pemilik-pemilik unta. Mereka mempelawa pengunjung untuk naik ke atas unta berhias.

Itu sudah tentu sepatutnya menjadi pengalaman yang menyeronokkan.

Namun gelagat pemilik unta yang memaksa pengunjung untuk naik ke atas unta mereka, memaksa pengunjung lelaki agar memakai serban dan igal, memaksa mereka yang naik unta mereka digambar dengan kamera mereka, itu semua sangat menyakitkan hati.

Sebahagian kami dikejar mereka sehingga ke tengah Jabal Rahmah, memaksa kami menaiki unta mereka. Kepada sahabat-sahabat, saya pinta mereka bertegas dengan pemilik-pemilik unta berkenaan.

Pernah beberapa kali saya menjerit agar sahabat-sahabat saya tidak diperdaya. Namun menjadi kenangan pahit buat beberapa sahabat kami yang dipaksa membayar 100 riyal untuk bayaran menaiki unta serta gambar-gambar yang dirakam oleh pemilik unta itu.

Padahal nilai yang biasa dikenakan biasanya sekitar 10-15 riyal saja.

Mina

Dinamakan mina kerana di sini tempat berkumpulnya manusia, khususnya jamaah haji bermalam pada  10-13 Zulhijjah untuk melakukan ibadah melontar.

Di sinilah sejarahnya Nabi Ibrahim AS melempar batu ke arah syaitan dan kemudiannya menyembelih kibas sebagai ganti Nabi Ismail AS.

Sunnah ini kemudiannya diikuti oleh Rasulullah SAW dengan melempar jumrah dan melakukan sembelihan ketika baginda melakukan ibadah haji, yang kemudiannya diikuti pula oleh umat Islam sehingga hari ini.

Semoga kami dapat datang lagi ke sini untuk menunaikan ibadah haji pula. Allahumma Amin…

Perjalanan diteruskan lagi.

Bas lalu sebentar di kawasan Bukit Shur. 

Di sinilah lokasi persembunyian Rasulullah SAW dan Abu Bakar As-Siddiq selama 3 malam sebelum bergerak menuju ke Madinah dalam peristiwa hijrah yang bersejarah.

Gua Tsur terletak 4km dari Masjidil Haram sementara tingginya dari permukaan tanah sekitar 458m.

Persembunyian Rasulullah SAW di Gua Tsur bersama Abu Bakar memberi erti yang sangat mendalam. Baginda mengajar strategi dalam perjuangan kerana lokasi gua ke arah selatan bukannya menuju ke arah Madinah di utara.

Ia juga mengajar erti persahabatan, ukhuwwah Islamiyyah antara sesama sahabat baginda khususnya Abu Bakar as-Siddiq, Ali bin Abi Talib, Asma’ binti Abu Bakar, Amir bin Fuhairah, Abdullah bin Abu Bakar bahkan seorang yang bukan Islam bernama Abdullah bin Uraiqit yang menjadi penunjuk jalan.

Semuanya memainkan peranan yang tidak sedikit untuk usaha murni ini.

Ketika masuk ke dalam gua, Abu Bakar masuk terlebih dahulu untuk memastikan apakah ada binatang berbisa yang boleh membahayakan Rasulullah SAW, setelah itu barulah baginda masuk.

Abdullah bin Abu Bakar bermalam bersama mereka, sementara waktu pagi kembali ke Makkah untuk mengetahui situasi semasa dan memantau orang Quraisy. Waktu malam Abdullah akan kembali menyampaikan maklumat terkini.

Firman Allah (at-Taubah : 40) :

“Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya : “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita”.

Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.

%d bloggers like this: