18 Mac 2010 (Khamis)

Pagi khamis, kami semua ahli rombongan dibawa melawat ke beberapa lokasi. Pertama, Masjid Hudaibiyah.

Al-Hudaibiyah ini berada di luar batas tanah suci, iaitu jalan antara Makkah dan Jeddah dan sekarang lokasi ini dipanggil Syumaisi, dinisbahkan kepada Bi’r Syumaisi.

Terdapat sebuah masjid di sini yang jaraknya dari Masjidil Haram sekitar 24km. Di sebelah kanan kiblat masjid ini, terdapat bekas bangunan masjid lama yang dibangun dengan batu hitam bersimen.

Hudaibiyah merupakan lokasi para sahabat Rasulullah SAW melakukan bai’ah (janji taat setia) kepada Rasulullah SAW untuk memerangi kafir Quraisy yang dikenali dengan nama Bai’atur Ridhwan pada bulan Zulkaedah tahun 6 Hijrah (Mac 628M).

Pada tahun itu, Rasulullah SAW dan para sahabat hendak ke Makkah untuk menunaikan umrah. Ketika sampai di Hudaibiyah ini, kaum kafir Quraisy menghalang rombongan Rasulullah SAW untuk masuk ke tanah haram.

Rasulullah SAW mengutus Sayyidina Uthman Affan untuk berunding dengan mereka.

Setelah lama menunggu Sayyidina Uthman yang tidak kembali, terdengar khabar mengatakan bahawa Sayyidina Uthman mati dibunuh sehingga menyebabkan para sahabat marah dan membai’ah Rasulullah untuk memerangi Quraisy.

Saat itu turun wahyu dua ayat iaitu ayat 10 dan 18 daripada surah al-Fath :

“Sesungguhnya orang-orang yang memberi pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad – untuk berjuang menentang musuh), mereka hanyasanya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah; Allah mengawasi keadaan mereka memberikan taat setia itu (untuk membalasnya). Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya; dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar”.

“Demi sesungguhnya! Allah redha akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya”.

Tidak lama sesudah itu, Sayyidina Uthman kembali dengan selamat. Beliau memperlihatkan butir proposal perjanjian genjatan senjata  daripada musyrikin Makkah kepada Rasulullah SAW.

Isi Perjanjian Hudaibiyah

1) Gencatan senjata selama sepuluh tahun.

2) Orang Islam dibenarkan memasuki Makkah pada tahun berikutnya, tinggal di Makkah selama tiga hari sahaja dengan hanya membawa senjata bersarung.

3) Bekerjasama kepada perkara yang membawa kebaikan.

4) Orang Quraisy yang lari ke pihak Islam tanpa kebenaran keluarga dikembalikan semula.

5) Orang Islam yang lari ke pihak Quraisy tidak perlu dikembalikan.

6) Kedua-dua pihak boleh membuat perjanjian dengan mana-mana kabilah Arab tetapi tidak boleh membantu peperangan.

Perjanjian itu kemudiannya dikenali dengan ‘Perjanjian Damai Hudaibiyah’ atau ‘Sulh Hudaibiyah’. Kemudian Rasulullah SAW dan para sahabat kembali ke Madinah.

Di tengah perjalanan itulah melalui perantaraan Malaikat Jibril AS, turun wahyu yang lain pula :

“Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata.

“Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian, dan menyempurnakan nikmatNya kepadamu, serta menambahkanmu hidayah ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya)”.

“Dan dengan sebabnya Allah memberikanmu pertolongan (untuk mencapai kejayaan) dengan sepenuh-penuh dan sehandal-handal pertolongan (yang tidak ada bandingannya)”.

“Dialah Allah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.

“(Allah melakukan demikian) supaya ia memasukkan orang yang beriman ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dengan keadaan kekal mereka di dalamnya, serta menghapuskan dosa-dosa mereka; dan yang demikian itu pada sisi Allah merupakan kejayaan yang besar (untuk mereka)”. (al-Fath : 1-5)

Tapak ini dikatakan bekas masjid lama yang menjadi lokasi bai’atur ridhwan. Wallahu a’lam. 

Kumpulan ziarah dari Turki yang sedang menghayati kisah al-Hudaibiyah daripada ustaz mereka.

Advertisements