“Bacalah dengan nama Tuhanmu yang telah menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha Mulia. Tuhan yang mengajar dengan pena. Dia mengajar manusia apa yang tidak tidak diketahuinya” (al-Alaq : 1-5)
Gua Hira’ terletak di sebelah timur laut Masjidil Haram di puncak Jabal Nur atau biasa juga dipanggil Jabal Hira’ dengan ketinggian 281 meter dari permukaan tanah.
Di sinilah Rasulullah SAW menyendiri dan beribadah sebelum diangkat menjadi utusan Allah SWT. Ketika baginda berumur 40 tahun, Allah SWT mengutus Malaikat Jibril untuk menyampaikan wahyu pertama iaitu ayat 1-5 daripada surah al-Alaq.
Rombongan kami bergerak dalam beberapa kumpulan. Ust Azam dan beberapa sahabat termasuk Amir, Ust Azman dan lain-lain bergerak selepas solat subuh, ketika cuaca belum begitu panas.
Sementara rombongan kami seramai 8 orang termasuk 3 muslimat datang sekitar jam 10 pagi. Namun yang naik hingga ke puncak dan ke Gua Hira’ hanyalah tiga orang – Abang Yusuf, Cikgu Hamid dan Ust Mad.
Perjalanan dari Masjidil Haram ke sini mengambil masa sekitar 20 minit, bergantung kepada situasi jalanraya.
Sementara perjalanan naik mengambil masa selama 45 minit dan kami yang lain menanti sahaja di bawah. Saya sedari awal tidak berhasrat untuk naik memandangkan cuaca panas dan keletihan selepas umrah sebelumnya.